1,000 pengguna terjejas menara komunikasi terbakar, SKMM laksana langkah mitigasi

3 Jul 2026, 9:46 AM
1,000 pengguna terjejas menara komunikasi terbakar, SKMM laksana langkah mitigasi
1,000 pengguna terjejas menara komunikasi terbakar, SKMM laksana langkah mitigasi

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kira-kira 1,000 pengguna di beberapa kampung di Padawan, Kuching mengalami gangguan perkhidmatan komunikasi susulan kebakaran sebuah menara komunikasi komersial di Kampung Semaru Rabu lalu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan kejadian membabitkan menara milik Sacofa Sdn Bhd itu berlaku kira-kira jam 6 petang.

Menurut SKMM, pengguna di Kampung Semaru, Kampung Biya Parang, Kampung Sapit, Kampung Kiding, Kampung Pesang dan Kampung Subang terjejas akibat insiden berkenaan.

Gangguan yang berlaku melibatkan kemerosotan liputan rangkaian serta sambungan komunikasi yang tidak konsisten di kawasan terbabit.

"Pengguna di sekitar Kampung Semaru, Kampung Biya Parang, Kampung Sapit, Kampung Kiding, Kampung Pesang dan Kampung Subang mengalami gangguan perkhidmatan komunikasi, termasuk kemerosotan liputan rangkaian serta sambungan yang tidak konsisten," katanya menerusi kenyataan media.

Menurut SKMM, punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa dan pihaknya telah mengarahkan penyelia perkhidmatan berkaitan melaksanakan langkah mitigasi segera bagi memastikan kesimnambungan rangkaian.

Antara langkah yang diambil termasuk mengoptimumkan liputan rangkaian sedia ada di kawasan berhampiran selain mengoperasikan Portable Base Transceiver Station (PBTS) sebagai penyelesaian sementara sehingga infrastruktur pulih sepenuhnya.

Dalam pada itu, pengguna yang terjejas disaran memanfaatkan kemudahan di NADI Kampung Darul Islam Belimbing, NADI Kampung Bengoh dan NADI Kampung Braang Bayur bagi mendapatkan akses kepada perkhidmatan komunikasi sepanjang tempoh pemulihan.

SKMM berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan situasi dan bekerjasama rapat dengan penyelia perkhidmatan serta agensi berkaitan bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar dan secepat mungkin.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.