LPHS teliti garis panduan caj penyelenggaraan Rumah Selangorku

3 Jul 2026, 10:00 AM
LPHS teliti garis panduan caj penyelenggaraan Rumah Selangorku

SHAH ALAM, 3 JULAI: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) merancang menjalankan kajian bersama pelbagai pihak berkepentingan bagi meneliti keperluan mewujudkan garis panduan atau amalan terbaik berkaitan penentuan caj penyelenggaraan bagi projek Rumah Selangorku.

Pemangku Pengarah Eksekutif LPHS, Mohd Hafiz Hassan, berkata kajian itu akan dilaksanakan menerusi sesi libat urus bersama pesuruhjaya bangunan (COB), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pihak berkuasa tempatan (PBT), pemaju, badan pengurusan bersama (JMB), perbadanan pengurusan (MC), ejen pengurusan berdaftar serta pihak berkepentingan lain dalam pengurusan strata.

"Kajian ini bertujuan mengenal pasti pendekatan yang lebih telus, munasabah dan konsisten dalam penentuan caj penyelenggaraan dengan mengambil kira ciri pembangunan, kemudahan yang disediakan, kos operasi sebenar serta kemampuan pembeli Rumah Selangorku.

"Kajian yang dicadangkan bukan bertujuan menetapkan kadar siling caj penyelenggaraan, sebaliknya memperkukuh tadbir urus pengurusan strata melalui penyediaan garis panduan dan amalan terbaik yang boleh dijadikan rujukan oleh pemaju, JMB, MC dan COB.

"Langkah ini diharap dapat meningkatkan ketelusan dalam penentuan caj penyelenggaraan, mengurangkan pertikaian serta memastikan kepentingan pembeli Rumah Selangorku terus terpelihara," katanya kepada Media Selangor.

Mohd Hafiz berkata ketika ini LPHS tidak menetapkan kadar caj penyelenggaraan bagi projek RSKU kerana kadar tersebut ditentukan oleh pemaju, JMB atau MC mengikut fasa pengurusan pembangunan, selaras dengan peruntukan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

Beliau berkata akta itu turut memperuntukkan kuasa kepada COB untuk membuat penentuan serta mengambil tindakan terhadap pertikaian berkaitan caj penyelenggaraan.

"Bagi pembangunan yang masih di bawah pengurusan pemaju, Seksyen 12(7)(a) memberi kuasa kepada COB menentukan amaun caj penyelenggaraan atau caruman yang perlu dibayar, manakala Seksyen 12(7)(b) membolehkan COB mengarahkan pemaju menyemak atau meminda penyata caj penyelenggaraan serta dokumen berkaitan.

"Bagi pembangunan yang telah diuruskan MC, Seksyen 52(6)(a) memberi kuasa kepada COB menentukan amaun caj penyelenggaraan atau caruman yang perlu dibayar.

"Manakala Seksyen 52(6)(b) membolehkan COB mengarahkan MC menyemak, meminda atau mengemukakan semula penyata caj penyelenggaraan serta dokumen berkaitan sekiranya berlaku pertikaian atau ketidakpatuhan terhadap peruntukan akta," katanya.

Sebelum ini, tular isu membabitkan pemilik RSKU Idaman Cahaya 1 yang didakwa menanggung caj penyelenggaraan tinggi meskipun projek itu berstatus rumah mampu milik. Isu berkenaan turut menimbulkan persoalan dalam kalangan pembeli mengenai kemampuan menanggung kos pemilikan kediaman bagi tempoh jangka panjang.

Menurut Mohd Hafiz, kos penyelenggaraan lazimnya dipengaruhi beberapa komponen utama, antaranya perkhidmatan keselamatan, penggunaan elektrik di kawasan harta bersama, penyelenggaraan lif, perkhidmatan pembersihan, penyelenggaraan pam air serta sistem mekanikal dan elektrikal.

Katanya, faktor lain termasuk penyelenggaraan landskap, kutipan sampah, kos kakitangan pengurusan, fi syarikat pengurusan serta penyelenggaraan kemudahan seperti dewan serbaguna, gimnasium, kolam renang dan taman permainan.

"Berdasarkan semakan LPHS terhadap projek RSKU Idaman Cahaya 1, komponen elektrik, keselamatan, kakitangan dan pembersihan merupakan penyumbang utama kepada anggaran kos penyelenggaraan," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.