SHAH ALAM, 3 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mempergiat pemeriksaan menerusi Ops Tiris 4.0 bagi memastikan pelaksanaan mekanisme penyasaran subsidi BUDI MADANI Diesel yang berkuat kuasa pada 1 Julai dipatuhi.
Unit Media KPDN Selangor memaklumkan operasi itu dilaksanakan susulan penguatkuasaan mekanisme baharu subsidi diesel berasaskan pengesahan MyKad.
"Pemeriksaan fizikal di stesen minyak dipertingkatkan bagi memastikan pelaksanaan BUDI MADANI Diesel berjalan lancar dan subsidi dinikmati oleh rakyat Malaysia yang layak.
"Menerusi mekanisme baharu itu, harga diesel bersubsidi ditetapkan pada RM2.10 seliter di seluruh negara bermula 1 Julai, selaras dengan pendekatan Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95)," katanya dalam kenyataan.
Operasi di beberapa stesen minyak sekitar Jalan Kebun, Klang pada Rabu diketuai Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari bersama Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Mohd Hanizam Kechek.
Menurutnya, pemeriksaan memberi tumpuan kepada pematuhan sistem pengisian diesel menggunakan MyKad, selain memastikan warga asing dan individu yang tidak layak tidak menikmati subsidi berkenaan.
"Operasi itu turut memantau pematuhan larangan pengisian petrol RON95 kepada kenderaan asing, ketepatan sukatan mesin pam minyak serta aktiviti pengisian diesel ke dalam tong atau bekas tanpa permit," katanya.
Selain itu, kehadiran Unit Rondaan Bermotosikal (URB) turut dipertingkatkan di 809 stesen minyak aktif di seluruh Selangor sebagai langkah pencegahan penyelewengan subsidi.
"Tidak akan ada sebarang kompromi terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak atau individu yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat berkaitan sebarang salah laku atau penyelewengan subsidi diesel melalui saluran aduan rasmi KPDN di Portal e-Aduan: http://eaduan.kpdn.gov.my serta aplikasi Ez ADU KPDN.






