SHAH ALAM, 3 JULAI: Perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi berimpak tinggi tidak mengurangkan keperluan terhadap tenaga kerja manusia, sebaliknya meningkatkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran yang memenuhi keperluan industri.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata pasaran pekerjaan kini masih memerlukan pelbagai kepakaran, justeru pencari kerja perlu terus meningkatkan kemahiran agar kekal relevan dengan kehendak majikan.
Menurutnya, institusi pengajian tinggi juga perlu menyemak dan mengemas kini silibus supaya graduan menguasai teknologi baharu, termasuk AI, sebelum memasuki alam pekerjaan.
“Teknologi terus berkembang, namun ia tidak bermakna manusia tidak lagi diperlukan. Industri masih memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
“Justeru, institusi pengajian tinggi perlu memastikan kurikulum sentiasa relevan dan seiring keperluan industri supaya graduan memiliki kemahiran yang memenuhi kehendak pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini, semalam.
Sementara itu, Papparaidu berkata Karnival Kerjaya Jobcare Selangor di Kuala Selangor pada 11 Julai ini akan menghimpunkan 40 majikan yang menawarkan kira-kira 4,000 peluang pekerjaan dengan gaji bermula RM2,000, bergantung pada kelayakan.
Katanya, inisiatif itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat, di samping membantu majikan mendapatkan tenaga kerja yang sesuai.
Beliau turut menggalakkan pencari kerja, khususnya graduan baharu dan belia, memanfaatkan karnival berkenaan bagi meningkatkan kebolehpasaran dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.







