SHAH ALAM, 2 JULAI: Pelajar Tingkatan Lima maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang ditunggang mereka dihempap sebatang pokok kelapa yang tumbang ketika ribut di kawasan tali air di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung, di Bachok, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, kedua-dua mangsa menunggang sebuah motosikal Modenas Kriss sebelum pokok kelapa berkenaan patah lalu menghempap mereka.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Nik Mohd Haiqal Abdul Rahim, 17, yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.
Rakannya, Ahmad Iqbal Mukmin, 17, parah di bahagian tengkuk dan dikejarkan ke Hospital Bachok bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa melalui laluan di kawasan tali air itu sebelum ribut melanda.
Beliau berkata, keadaan cuaca buruk menyebabkan sebatang pokok kelapa setinggi kira-kira 10 meter patah lalu menghempap motosikal yang ditunggang kedua-dua remaja berkenaan.
"Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Bachok untuk rawatan lanjut, manakala mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik hospital sama," katanya lapor Harian Metro.
Sementara itu, Penghulu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Permatang Pasir, Nor Azman Mohamad berkata, laluan berkenaan merupakan laluan harian penduduk kampung termasuk pelajar.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika ribut kuat melanda kawasan itu selama kira-kira lima minit.
"Ini kali pertama kejadian pokok tumbang berlaku dan menyebabkan kematian," katanya sambil memaklumkan mangsa yang maut dipercayai membawa rakannya yang masih bertongkat selepas mengalami patah kaki akibat kemalangan sebelum ini.







