Anwar mahu siasatan telus, segera kematian pelajar tingkatan tiga di Perak

18 Nov 2026, 2:48 PM
Anwar mahu siasatan telus, segera kematian pelajar tingkatan tiga di Perak

SHAH ALAM, 18 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan menyeluruh, telus dan segera dijalankan berhubung kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Perak hari ini.

Beliau berkata siasatan itu perlu mengenal pasti punca sebenar kejadian tanpa mengetepikan sebarang aspek bagi memastikan keadilan ditegakkan.

“Saya telah meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Tiada sebarang aspek harus diketepikan agar keadilan dapat ditegakkan dan kejadian seumpama ini dapat dicegah daripada berulang,” katanya menerusi Facebook malam ini.

Anwar turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar terbabit dan berharap mereka diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi kehilangan itu.

Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengesahkan seorang murid Tingkatan Tiga ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di negeri berkenaan hari ini.

JPN Perak dalam kenyataan malam ini memaklumkan pihaknya sedang memantau perkembangan kejadian dan telah mengarahkan pihak sekolah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis.

Jabatan itu turut menyelaraskan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta sokongan psikososial kepada murid, guru dan warga sekolah yang terkesan.

Selain itu, komunikasi dengan keluarga mangsa akan dilaksanakan secara berhemah dan berterusan, di samping menyediakan bantuan serta sokongan yang bersesuaian.

JPN Perak turut meminta orang ramai menghormati privasi keluarga mangsa dan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya di media sosial.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.