SHAH ALAM, 4 OKT: Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, semalam.
Mangsa yang merupakan pelajar tingkatan empat dipercayai ditemukan kira-kira jam 5.30 petang selepas neneknya datang ke sekolah kerana bimbang cucunya masih belum pulang ke rumah.
Menurut sumber, mangsa tinggal bersama neneknya selepas ibunya meninggal dunia, manakala bapanya bekerja di Kuala Lumpur.
Warga emas itu kemudian bergegas ke sekolah untuk mencari cucunya sebelum menemukan mangsa dalam keadaan terbaring dan lemah.
"Terdapat kesan darah kering ditemukan pada badan mangsa selain lebam seolah-olah dipukul. Selain itu turut ditemukan pasu pecah berdekatan mangsa," katanya seperti dilapor BH.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian.
"Polis sedang menyiasat kejadian ini sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan," katanya.
Dalam pada itu, orang ramai termasuk pelajar sekolah terbabit dilihat berkumpul di luar pagar sekolah bagi mengetahui perkembangan kejadian.
Pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor turut berada di dewan sekolah untuk menjalankan siasatan.
Pintu masuk utama sekolah juga dikawal ketat dan hanya pihak berkaitan dibenarkan memasuki kawasan berkenaan.







