Pengangkutan awam instrumen keadilan sosial

3 Jul 2026, 3:00 AM
Pengangkutan awam instrumen keadilan sosial

Islam ialah agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Syariat yang diturunkan oleh Allah SWT bukan sekadar mengatur hubungan manusia dengan Tuhan, bahkan membimbing pembentukan sebuah masyarakat yang adil, sejahtera dan maju.

Justeru, pembangunan infrastruktur awam seperti sistem pengangkutan yang cekap, selamat dan mampu milik bukanlah isu teknikal semata-mata, bahkan sebahagian tanggungjawab syarie pemerintah dalam merealisasikan kemaslahatan rakyat.

Walaupun al-Quran dan hadis tidak menyebut secara khusus mengenai kereta api, bas, transit aliran ringan atau metro, kedua-dua sumber utama Islam meletakkan prinsip yang menjadi asas kepada penyediaan segala kemudahan yang memudahkan kehidupan manusia.

Allah SWT berfirman: “Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu.” (Surah al-Baqarah: 185)

Ayat itu menjadi asas bahawa syariat dibina atas prinsip al-taysir (memudahkan), bukan menyukarkan. Oleh itu, segala dasar yang mengurangkan kesukaran hidup rakyat sebahagian daripada roh syariat.

Allah SWT juga berfirman: “Dan Dia menjadikan bagi kamu kenderaan yang kamu tunggangi dan kapal-kapal yang kamu naiki.” (Surah al-Zukhruf: 12)

Ayat tersebut memperlihat kemudahan pengangkutan ialah nikmat Allah yang perlu dibangunkan melalui ilmu, teknologi dan pentadbiran yang baik supaya manfaatnya dapat dinikmati seluruh masyarakat.

Hadis ada menyebut: “Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia yang lain.”

Dalam hadis lain pula Baginda bersabda: “Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan.”

Kedua-dua hadis itu menjadi asas bahawa segala dasar awam hendaklah bertujuan membawa manfaat dan mengurangkan kemudaratan.

Sistem pengangkutan awam berkesan mampu mengurangkan kemalangan, pencemaran udara, pembaziran bahan api, tekanan akibat kesesakan lalu lintas serta kehilangan masa yang produktif.

Orang ramai menggunakan perkhidmatan Sistem Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) ketika tinjauan di Stesen Glenmarie 2 pada 29 Jun 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Perbincangan menjadi lebih jelas apabila dilihat melalui lensa maqasid syariah. Menurut Al-Syatibi dalam Al-Muwafaqat, keseluruhan syariat diturunkan bagi merealisasikan maslahah dan menolak mafsadah.

Beliau menjelaskan syariat bukan hanya menjaga kepentingan individu, tetapi juga kepentingan masyarakat secara kolektif (al-maslahah al-’ammah).

Dalam konteks pengangkutan awam, penyediaannya memenuhi tuntutan kemaslahatan umum. Rakyat pelbagai latar belakang ekonomi memperoleh akses kepada pekerjaan, pendidikan, hospital, institusi kerajaan dan pusat ibadah.

Ini menjadikan pengangkutan awam sebagai instrumen keadilan sosial yang membolehkan peluang dinikmati secara lebih saksama.

Ibn Asyur pula mengembangkan gagasan maqasid syariah agar sesuai dengan cabaran negara moden. Dalam Maqasid al-Syari’ah al-Islamiyyah, beliau menegaskan antara tujuan besar syariat ialah membina masyarakat yang berasaskan kebebasan, keadilan, kestabilan, kesejahteraan dan kemajuan tamadun.

Syariat menurut beliau tidak boleh dibataskan kepada hukum-hakam ibadah semata-mata, bahkan mesti diterjemahkan dalam dasar pentadbiran, pembangunan ekonomi dan penyediaan kemudahan awam.

Atas asas itu, sistem pengangkutan awam yang moden sebahagian maqasid kerana ia memudahkan kehidupan rakyat, meningkatkan produktiviti negara, mengurangkan jurang sosial dan memperkukuhkan kesejahteraan masyarakat. Dasar seperti ini memenuhi matlamat syariat yang sentiasa mengutamakan manfaat yang luas berbanding kepentingan kelompok tertentu.

Pandangan berkenaan turut diperkukuhkan oleh Ibn Khaldun dalam karya agungnya, Al-Muqaddimah. Beliau menjelaskan kemajuan sesebuah tamadun bergantung kepada kekuatan pentadbiran, pembangunan bandar, jaringan ekonomi dan kemampuan pemerintah menyediakan kemudahan kepada rakyat.

Sesebuah negara berkembang apabila hubungan antara manusia menjadi mudah, perdagangan menjadi lancar dan pergerakan penduduk tidak terhalang oleh kelemahan infrastruktur.

Menurut Ibn Khaldun lagi, pembangunan bandar (‘umran) bukan sekadar pembinaan bangunan, tetapi merangkumi keseluruhan ekosistem kehidupan yang membolehkan manusia hidup dengan produktif. Dalam konteks masa kini, sistem pengangkutan awam nadi pembangunan ‘umran.

Tanpa rangkaian pengangkutan yang cekap, aktiviti ekonomi menjadi perlahan, kos sara hidup meningkat, peluang pekerjaan terhad dan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan luar bandar semakin melebar.

Dari sudut maqasid syariah, pengangkutan awam memenuhi lima matlamat utama syariat. Ia menjaga nyawa (hifz al-nafs) melalui sistem perjalanan yang lebih selamat. Ia menjaga harta (hifz al-mal) dengan mengurangkan kos pemilikan kenderaan dan perbelanjaan harian rakyat.

Ia menjaga akal (hifz al-’aql) apabila tekanan akibat kesesakan dapat dikurangkan, sekali gus meningkatkan kesejahteraan mental. Ia menjaga agama (hifz al-din) kerana memudahkan masyarakat menghadiri masjid, majlis ilmu dan aktiviti kebajikan.

Akhir sekali, ia menjaga keturunan (hifz al-nasl) dengan memudahkan urusan keluarga seperti menghantar anak ke sekolah, mendapatkan rawatan kesihatan dan menjalankan tanggungjawab kekeluargaan.

Dalam tradisi fiqh Islam juga terdapat kaedah yang menjadi panduan kepada pentadbiran negara: “Segala tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah berasaskan kemaslahatan.”

Kaedah itu memberi panduan bahawa setiap keputusan pemerintah hendaklah berorientasikan kepentingan rakyat. Pelaburan dalam pengangkutan awam bukan sekadar memenuhi keperluan logistik, tetapi pelaksanaan amanah syarie untuk menjamin kesejahteraan masyarakat dan kelangsungan pembangunan negara.

Kesimpulannya, pengangkutan awam yang cekap, selamat dan mampu milik bukan hanya memenuhi tuntutan pembangunan moden, bahkan manifestasi maqasid syariah.

Pemikiran Al-Syatibi mengajarkan syariat bertujuan merealisasikan kemaslahatan; Ibn Asyur menegaskan maqasid mesti diterjemahkan dalam dasar pentadbiran negara; manakala Ibn Khaldun menunjukkan kemudahan infrastruktur asas kebangkitan tamadun.

Oleh itu, usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam bukan sekadar dasar pembangunan, bahkan satu amanah yang menyatukan nilai agama, keadilan sosial dan kemajuan ketamadunan.

Apabila rakyat menikmati perjalanan yang selamat, cepat dan mampu milik, negara bukan sahaja membina jaringan jalan raya dan landasan kereta api, tetapi turut membina sebuah tamadun yang berteraskan rahmat, kesejahteraan dan kemaslahatan sebagaimana yang dikehendaki oleh syariat Islam.

Kategoripendapat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.