SHAH ALAM, 2 Julai: Lima individu cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Corolla Cross yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam tujuh meter di Jalan Machang-Kuala Krai, tengah malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang, Pegawai Bomba Kanan I (PBKI) Mohd Fadzil Musa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.01 tengah malam.
Beliau berkata, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian dan mendapati SUV berkenaan berada di dalam gaung sedalam tujuh meter.
"Kemalangan itu membabitkan lima mangsa iaitu tiga lelaki dan dua perempuan.
"Dua mangsa yang tersepit, masing-masing seorang lelaki dan perempuan dapat dikeluarkan menggunakan peralatan khas menyelamat, manakala tiga lagi mangsa turut cedera," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semua mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.







