SHAH ALAM, 1 JULAI: Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter akibat melanggar seekor anak gajah di Jalan Felda Nitar, Mersing, awal pagi tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Azlan Hamzah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.28 pagi berhubung kemalangan membabitkan sebuah Perodua Bezza yang dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun, lapor Berita Harian.
Menurutnya, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Mangsa didapati tersepit dan mengalami kecederaan pada kaki sebelum berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas menyelamat. Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Mersing menggunakan kenderaan EMRS untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan telah menghantar anggotanya ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.







