SHAH ALAM, 2 JUN: Seorang lelaki maut selepas motosikal jenis Kawasaki Z250 yang ditunggangnya terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter di Puncak Gerik, Lebuh Raya Timur-Barat (JRTB) di sini hari ini.
Mangsa, Amir Afiq Adnan, 26, beralamat di Bachok, Kelantan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kecemasan kejadian itu diterima pada jam 10.09 pagi.
Menurutnya, berdasarkan maklumat, mangsa dipercayai terbabas sendiri sebelum jatuh ke dalam gaung berkenaan.
"Ketua operasi melakukan penilaian awal di lokasi sebelum mengaplikasikan konsep SAVER bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.
"Mangsa dibawa naik ke atas jalan menggunakan pengusung melalui laluan longkang bertingkat di lebuh raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayatnya kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang melibatkan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik itu tamat sepenuhnya pada jam 11.58 pagi.









