PETRA salur RM3.4 juta kurangkan risiko banjir di Kuala Langat

1 Jul 2026, 4:26 AM
PETRA salur RM3.4 juta kurangkan risiko banjir di Kuala Langat

SHAH ALAM, 1 JULAI: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyalurkan RM3.4 juta bagi melaksanakan kerja penyenggaraan sungai dan saliran di Kuala Langat sejak 2022 sebagai usaha mengurangkan risiko banjir di kawasan itu.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata daripada jumlah itu, RM2.4 juta diperuntukkan bagi tempoh 2022 hingga 2025, manakala RM1 juta lagi disediakan tahun ini untuk melaksanakan lapan kerja kecil mengikut skop yang diluluskan.

"PETRA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa memberi perhatian terhadap masalah banjir yang berlaku di Kuala Langat.

"Bagi tempoh 2022 hingga 2025, Parlimen Kuala Langat menerima peruntukan sebanyak RM2.4 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan sungai dan saliran yang berkaitan," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau berkata pada tahun ini, PETRA meneruskan program itu dengan peruntukan RM18 juta untuk Selangor, termasuk RM1 juta diperuntukkan kepada Kuala Langat bagi melaksanakan lapan kerja kecil di kawasan berisiko.

Fadillah berkata sebagai langkah jangka panjang, PETRA melalui JPS sedang melaksanakan tiga projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Lembangan Sungai Langat dengan anggaran kos keseluruhan RM1.23 bilion.

"Dua projek sedang dalam pelaksanaan iaitu RTB Sungai Langat Fasa 2 Pakej 2 di Daerah Sepang yang dijangka siap pada April 2031 dan RTB Sungai Langat Fasa 1 yang dijangka siap pada Mei 2027.

"Walaupun projek-projek ini dilaksanakan di kawasan hulu dan pertengahan Lembangan Sungai Langat, pelaksanaannya dijangka dapat menyumbang kepada pengurangan risiko banjir secara menyeluruh termasuk di kawasan hilir seperti Kuala Langat," katanya.

Beliau berkata PETRA akan menilai keberkesanan projek berkenaan selepas siap dilaksanakan, khususnya dari aspek pengurangan paras air dan tempoh banjir di kawasan hilir.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.