SHAH ALAM, 9 JUN: Matlamat Sifar Buli di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kini hampir tercapai susulan pelaksanaan pelbagai langkah tegas bagi membendung gejala berkenaan, kata Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk menempatkan bekas anggota tentera sebagai warden sepenuh masa di MRSM.
Menurutnya, MARA turut bekerjasama dengan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi mencari formula terbaik untuk menangani isu buli mental yang masih menjadi cabaran.
“Alhamdulillah matlamat SIFAR BULI hampir berjaya dengan pelbagai langkah termasuk menempatkan bekas tentera sebagai warden sepenuh masa. Cuma sedang bekerjasama dengan penyelidik UPM untuk cari formula tangani buli mental,” katanya.
Asyraf Wajdi turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan MARA dan MRSM yang menyokong pendekatan tegas dalam menangani kes buli.
Beliau berkata prinsip #YouTouchYouGo yang diperkenalkan membuktikan ketegasan pihak pengurusan tanpa sebarang kompromi terhadap pelaku buli, tanpa mengira latar belakang mereka atau keluarga masing-masing.
“Prinsip #YouTouchYouGo membuktikan ketegasan tidak berkompromi dalam apa jua isu buli, tidak kira latar belakang pembuli atau keluarga pembuli.
“Tiada lagi kecenderungan untuk menutup kes-kes di bawah permaidani, yang sebelum ini menjadi antara faktor penyumbang kepada kes buli,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu telah menyumbang kepada penurunan mendadak kes buli di MRSM sejak kebelakangan ini.
“Alhamdulillah,” katanya.





