SHAH ALAM, 1 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengesan kegiatan pemalsuan dokumen yang menggunakan nama, logo, identiti serta nama pegawai agensi itu bagi mendapatkan bekalan barangan atau perkhidmatan untuk masjid di Selangor dan premis MAIS.
Menerusi kenyataan di Facebook hari ini, MAIS memaklumkan pihaknya memandang serius penyalahgunaan identiti agensi berkenaan dan menasihatkan pembekal serta orang ramai supaya lebih berwaspada.
"Mana-mana pembekal dan orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan pengesahan terus daripada Bahagian Perolehan MAIS sebelum menerima sebarang tempahan, pesanan atau permintaan yang dikatakan dibuat bagi pihak MAIS," menurut kenyataan itu.
Pengesahan boleh dibuat dengan menghubungi Bahagian Perolehan MAIS di talian 03-5514 3400 atau 03-5514 3752, atau menerusi e-mel pro@mais.gov.my.
MAIS turut menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan nama, logo atau identiti agensi itu secara salah.







