4,557 kes kanak-kanak hilang direkod dalam tempoh 2021 hingga 2025

30 Jun 2026, 2:22 AM
4,557 kes kanak-kanak hilang direkod dalam tempoh 2021 hingga 2025

SHAH ALAM, 30 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 4,557 kes kehilangan kanak-kanak sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, dengan jumlah kes menunjukkan trend peningkatan setiap tahun kecuali pada 2023.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebanyak 594 kes direkodkan pada 2021 sebelum meningkat kepada 903 kes pada 2022. Bagaimanapun, jumlah itu menurun kepada 778 kes pada 2023 sebelum kembali meningkat kepada 1,063 kes pada 2024 dan 1,219 kes tahun lalu.

Beliau berkata penurunan yang dicatatkan pada 2023 adalah sebanyak 13.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurutnya, setiap laporan kehilangan kanak-kanak akan diklasifikasikan serta-merta sebagai Orang Hilang (OH) bagi membolehkan tindakan pengesanan dimulakan tanpa perlu menunggu tempoh tertentu.

Katanya, PDRM turut memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Imigresen Malaysia, pihak sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta media bagi mempercepat usaha mengesan dan menyelamatkan kanak-kanak yang dilaporkan hilang.

"Penggunaan platform digital juga dipertingkatkan menerusi portal hebahan kanak-kanak hilang di laman web rasmi PDRM bagi memperluaskan capaian maklumat kepada masyarakat dan mempercepat proses pengesanan.

"Selain itu, program advokasi serta kesedaran awam mengenai keselamatan kanak-kanak, risiko melarikan diri dari rumah, eksploitasi dalam talian, pengaruh media sosial serta kepentingan pemantauan ibu bapa dan penjaga dilaksanakan secara berterusan," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Zahari Kechik (PN-Jeli) yang meminta kementerian menjelaskan usaha menangani peningkatan trend kehilangan kanak-kanak sepanjang tempoh 2021 hingga 2025.

Saifuddin berkata PDRM juga mengoptimumkan peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dengan memberi tumpuan kepada keselamatan murid serta mempertingkat pemantauan terhadap kes kehilangan berulang.

Pada masa sama, katanya, polis terus mengenal pasti faktor utama yang menyumbang kepada kehilangan kanak-kanak, termasuk konflik keluarga, pengaruh rakan sebaya, masalah emosi, eksploitasi seksual, penggunaan media sosial secara tidak terkawal serta kecenderungan melarikan diri dari rumah atau institusi jagaan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.