Kes tibi meningkat 4.4 peratus, diagnosis lewat antara cabaran utama

30 Jun 2026, 1:00 AM
Kes tibi meningkat 4.4 peratus, diagnosis lewat antara cabaran utama

SHAH ALAM, 30 JULAI: Jumlah kes penyakit tibi meningkat 4.4 peratus sehingga 6 Jun lalu berbanding tempoh sama tahun lalu, namun keadaan penyakit itu masih terkawal.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 22/2026, sebanyak 11,257 kes tibi direkodkan berbanding 10,779 kes dalam tempoh sama pada 2025, menjadikan pertambahan sebanyak 478 kes.

Beliau berkata peningkatan itu sejajar dengan jangkaan susulan usaha Kementerian Kesihatan mempergiat aktiviti pengesanan kes bagi membolehkan pesakit dikenal pasti dan menerima rawatan lebih awal, lapor Berita Harian.

"Sebanyak 492 kematian akibat tibi direkodkan sehingga 6 Jun lalu, berbanding 856 kematian bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu pengurangan sebanyak 43.1 peratus," katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Sivakumar Varatharaju Naidu (PH- Batu Gajah) mengenai status semasa penyakit tibi di Malaysia, termasuk trend jangkitan dan kematian, cabaran dalam pengesanan.

Sivakumar turut ingin mengetahui mengenai pematuhan rawatan dan langkah kerajaan mencapai sasaran penghapusan tibi menjelang 2035.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, antara cabaran utama dalam pengesanan awal kes tibi ialah kelewatan diagnosis berikutan tempoh inkubasi kuman yang panjang sebelum gejala muncul, menyebabkan pesakit lewat mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

"Selain itu, faktor sosial dan geografi seperti kurang kesedaran mengenai gejala tibi, stigma masyarakat serta kesukaran mengakses perkhidmatan kesihatan di kawasan tertentu turut menyukarkan pengesanan awal penyakit berkenaan.

"Penggunaan teknologi pengesanan yang kurang sensitif dan mempunyai spesifisiti rendah juga antara cabaran dalam usaha mengesan kes tibi," katanya.

Dalam aspek rawatan pula, beliau berkata, tempoh rawatan yang panjang, iaitu sekurang-kurangnya enam bulan, selain kesan sampingan ubat, boleh menjejaskan pematuhan pesakit terhadap rawatan.

Beliau berkata, ketidakpatuhan terhadap rawatan meningkatkan risiko kegagalan rawatan, penularan penyakit secara berterusan serta berlakunya tibi rintang ubat (DRTB).

"Pesakit DRTB memerlukan rawatan yang lebih kompleks dengan tempoh sehingga dua tahun serta membabitkan kos rawatan yang lebih tinggi," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.