596 kes baharu tibi direkodkan minggu lalu - KKM

21 Feb 2026, 8:20 AM
596 kes baharu tibi direkodkan minggu lalu - KKM

PUTRAJAYA, 21 FEB: Sebanyak 596 kes baharu tuberkulosis atau tibi dikesan di seluruh negara sehingga Minggu Epidemiologi keenam tahun ini (ME 6/2026) menjadikan bilangan keseluruhan kepada 3,161 kes setakat ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi, iaitu 755 kes diikuti Selangor (596 kes), Sarawak (332 kes), Johor (280 kes) serta Kuala Lumpur dan Putrajaya (244 kes).

Sebanyak 181 kes direkodkan di Kedah, Pulau Pinang (172 kes), Perak (154 kes), Kelantan (121 kes), Pahang (103 kes), Terengganu (74 kes), Negeri Sembilan (62 kes), Melaka (48 kes), Perlis (21 kes) dan Labuan (18 kes).

KKM memaklumkan Ramadan bukan punca penularan penyakit itu, namun peningkatan aktiviti sosial dan perhimpunan sepanjang bulan ini secara umumnya meningkatkan interaksi dalam kalangan masyarakat.

Grafik: My Health

Orang ramai digalakkan mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul, memastikan pengudaraan yang baik di ruang tertutup, memakai pelitup muka jika bergejala atau di tempat sesak dan mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya batuk berpanjangan melebihi dua minggu atau mengalami gejala lain.

Selain itu, risiko penularan boleh meningkat sekiranya seseorang terdedah dalam tempoh yang panjang di ruang tertutup, sesak dan kurang pengudaraan, khususnya jika terdapat individu dengan tibi aktif yang belum menjalani rawatan.

“Namun, risiko sebenar bergantung kepada beberapa faktor termasuk tempoh pendedahan, keadaan pengudaraan dan tahap kesihatan individu terlibat,” menurut kenyataan itu.