SYDNEY, 27 FEB: Penyelidik di Australia menerusi satu eksperimen menemui bagaimana satu kumpulan antibiotik menyerang bakteria yang bertanggungjawab untuk tuberkulosis (Tibi) sekali gus meningkatkan harapan untuk rawatan yang lebih berkesan terhadap strain kerintangan ubat, lapor Xinhua.
Tibi kekal sebagai salah satu penyakit berjangkit paling membawa maut di dunia, menyebabkan kematian kira-kira 1.2 juta orang setiap tahun, dengan strain kerintangan ubat semakin mengancam khususnya di rantau Asia Pasifik, menurut kenyatan Institut Centenary Australia pada Jumaat.
Kajian yang diterbitkan dalam nature communications, meneliti bagaimana tiga sebatian antibiotik semulajadi ecumicin, ilamycin dan cyclomarin bertindak pada mesin penguraian protein penting di dalam mycobacterium tuberculosis iaitu bakteria yang menyebabkan tibi.
Mesin molekul, yang dikenali sebagai kompleks ClpC1 - ClpP1P2, membolehkan bakteria memecahkan protein yang rosak atau tidak diperlukan, membantunya bertahan dalam tekanan dan mengekalkan fungsi-fungsi penting.
Tanpanya, bakteria tibi tidak dapat bertahan, menjadikannya sasaran “menarik’’ untuk ubat atau dadah, menurut kajian itu.
Bakteria tibi bergantung pada sistem degradasi ini untuk terus hidup, terutamanya dalam keadaan tekanan dalam tubuh manusia," kata pengarang kanan bersama kajian Warwick Britton, ketua makmal di Pusat Jangkitan & Imuniti Institut Centenary.
“Dapatan kami menunjukkan bahawa sebatian (antibiotik) ini tidak hanya menutup sistem. Sebaliknya, setiap satu mengganggunya secara berbeza, mencetuskan ketidakseimbangan yang meluas di seluruh bakteria. Gangguan ini melemahkan keupayaannya untuk berfungsi dan bertahan," kata Britton.
Menurut penyelidik memahami bagaimana sebatian itu berinteraksi dengannya (bakteria tibi) dan mengganggu fungsi normalnya akan membantu mereka bentuk ubat anti-tibi generasi seterusnya dengan lebih strategik.







