KUALA LUMPUR, 28 JUN: Kesemua mangsa banjir di Selangor sudah pulang ke rumah masing-masing petang tadi manakala jumlah mangsa di Perak pula tidak berubah setakat 5 petang.
Di Selangor, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan kesemua 16 mangsa termasuk dua bayi yang berlindung di pusat pemindahan banjir (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang, Banting dibenarkan pulang dan PPS berkenaan ditutup 2.30 petang tadi.
Sementara di Perak, jumlah mangsa kekal sejak pagi tadi membabitkan 52 orang daripada 16 keluarga yang berlindung di PPS Dewan Bandaran Gopeng di daerah Kampar, di sini.
Sekretariat JPBN Perak dalam kenyataan memaklumkan mereka ditempatkan di PPS itu sejak 20 Jun lalu, berikutan kawasan rumah mereka di Kampung Ulu Geruntum, Kuala Razila terputus hubungan susulan jambatan runtuh akibat kepala air.









