SHAH ALAM, 9 DIS: Empat lagi pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand dirobohkan, pagi tadi.
Operasi dijalankan pelbagai agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, berkata lokasi membabitkan pangkalan haram Mat Roji 2, Surau Lama, Perdah dan Mat Roji 1, lapor Berita Harian.
"Operasi merobohkan pangkalan haram bermula jam 9.30 pagi hingga 10.40 pagi dengan pembabitan pelbagai agensi.
"Operasi meroboh dilakukan mengikut senarai dan peraturan dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Jajahan Pasir Mas. Semuanya berjalan lancar.
"Perobohan dibuat untuk tidak membenarkan pangkalan berkenaan digunakan bagi aktiviti rentas sempadan, penyeludupan atau kegiatan menyalahi undang undang," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Setakat 8 November lalu, empat pangkalan haram dirobohkan, masing-masing dua di Rantau Panjang dan dua di Tanah Merah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, dilaporkan berkata, empat pangkalan haram dirobohkan adalah MCA, Gergaji, Dua Riya dan Nusi.



