SHAH ALAM, 27 JUN: Sindiket dadah antarabangsa kini dikesan mengeksploitasi kemajuan teknologi digital bagi memperluaskan rangkaian pengedaran mereka menerusi platform komunikasi sulit, pasaran gelap digital serta transaksi kewangan rentas sempadan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkembangan itu menjadikan ekosistem jenayah dadah semakin kompleks, bersifat hibrid dan sukar dikesan, sekali gus menuntut pendekatan penguatkuasaan yang lebih moden, bersepadu serta berasaskan risikan, lapor Berita Harian.
"Berikutan itu, pendekatan kerajaan diperkukuh melalui penggunaan analitik data raya dan kecerdasan buatan (AI) bagi mengenal pasti trend dan kawasan berisiko secara lebih tepat, disokong perkongsian risikan antara agensi serta pelaksanaan intervensi berasaskan komuniti.
"Ini bagi memastikan setiap tindakan lebih bersasar, pantas, berimpak tinggi. Kerajaan kekal komited memerangi ancaman dadah melalui pendekatan menyeluruh menekankan pengurangan permintaan, pengurangan bekalan dan pengurangan kemudaratan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman pada Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2026 di Dataran Sungai Muda, Kepala Batas, Kedah hari ini.
Menurut Saifuddin, ancaman dadah sintetik seperti methamphetamine dan fentanyl turut memberi kesan serius terhadap keselamatan serta kesihatan global.
Beliau berkata, trend semasa menunjukkan dadah sintetik jenis amphetamine-type stimulants (ATS) seperti syabu, ekstasi dan pil kuda terus mendominasi penyalahgunaan dadah di negara ini.
Jumlah individu dikesan terbabit penyalahgunaan dan penagihan dadah ATS sehingga Mac 2026 adalah seramai 73,611 orang iaitu 72.92 peratus.
Katanya, secara geografi, negeri sempadan seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah terus mencatatkan kadar penagihan dan penyalahgunaan dadah tertinggi negara.
Pulau Pinang berada di kedudukan keenam dengan kadar 757 orang bagi setiap 100,000 penduduk berbanding 560 orang di peringkat nasional.
Beliau menjelaskan, trend itu menunjukkan keperluan kepada pendekatan geostrategik dan kerjasama rentas agensi yang lebih bersepadu kerana penyalahgunaan dadah kini tidak lagi tertumpu di bandar, sebaliknya makin menular keluar bandar, institusi pendidikan dan tempat kerja.
"Lebih membimbangkan, trend penyalahgunaan dadah menunjukkan peralihan ketara daripada dadah tradisional seperti heroin dan ganja kepada dadah sintetik khususnya methamphetamine seperti syabu, pil kuda, ekstasi dan ketamin.
"Pihak berkuasa turut mengesan peningkatan penggunaan kanabis sintetik, cecair vape yang dicampur bahan psikoaktif serta penyalahgunaan ubat preskripsi seperti tramadol, codeine, diazepam, alprazolam dan pregabalin untuk tujuan rekreasi.
"Fenomena ini menjadikan usaha pencegahan, penguatkuasaan, rawatan semakin mencabar dan diburukkan lagi dengan pengedaran secara bersindiket, penggunaan platform digital sebagai medium transaksi serta pembabitan warga tempatan dalam rangkaian jenayah antarabangsa," katanya.
Tambahnya, pindaan kepada Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 turut dilaksanakan bagi memperluaskan akses kepada rawatan dan pemulihan, selaras dengan komitmen kerajaan menangani ancaman dadah secara menyeluruh.







