Bagi Kau yang Membaca Ini, Adakah Aku Dibunuh?

27 Jun 2026, 5:54 AM
Bagi Kau yang Membaca Ini, Adakah Aku Dibunuh?

Oleh Afrina Aziz 

Ilustrasi Muizzah

Tiada yang bohong dalam cerita ini. Pagi Isnin, aku dibunuh. Kau tidak salah baca. Aku memang dibunuh. Mayat aku dijumpai di sebelah longgokan buah laici yang telah dimakan dan dibiarkan bersepah dalam bilik. 

Polis datang memenuhi bilikku yang sekangkang kera itu. Emak menangis teresak-esak sambil mempersoalkan nasib hidupnya tanpa aku. Ayah pula asyik memaksa polis agar memberitahu punca kematianku. Tiada unsur jenayah dapat dikesan, juga tiada darah yang melimpah-limpah. “Sabar, encik.” Hanya itu yang keluar daripada mulut salah seorang pegawai polis yang bertugas.

Kes kematian aku menggemparkan kejiranan. Mereka hairan bagaimana tiba-tiba sahaja aku boleh mati.

Depression kot? Budak-budak sekarang kan selalu macam tu.” Ujar Mak Jijah, jiran setaman sambil memandang anak perempuannya yang baru lepas tamat SPM membawa perut yang sarat. 

Tubuhku kemudiannya dibawa ke hospital untuk dibedah siasat. Emak, ayah, adik-adik, menunggu di ruang hadapan Unit Forensik. Wajah mereka dipenuhi pelbagai tanda tanya dan tanda tidak sabar untuk mengetahui sebab kematian aku.  

Walaupun sudah tidak bernyawa, aku berasa janggal dengan keadaan tubuh yang hanya ditutupi kain sepanjang dada hingga ke paras paha. Udara di Unit Forensik berbau antiseptik dan bahan kimia yang tajam. Aku fikir bilik ini akan berbau darah atau mayat yang kuat, namun yang ada hanya bau bersih berlebihan, seolah-olah tempat itu sedang berusaha menghapuskan sejarah si mati yang pernah menyinggah. 

Pintu kaca ditolak dengan kasar.

“Bangun. Kau boleh ceritakan kepada aku. Buka mata kau.”

Aku terkejut tetapi masih diam.

Aku dengar tapak kasutnya berjalan menghampiriku. Dan aku buka mata. Seorang lelaki berkot putih sedang berdiri sambil memandang tepat ke wajahku.

“Kau bercakap dengan aku?” Tanyaku, klise, seperti watak-watak dalam filem hantu yang pernah kutonton. 

Dia tidak terus menjawab. Dia mengambil fail yang aku agak berisi laporan yang disediakan pegawai bertugas untuk menyiasat kematianku. Tangannya sibuk menyelak beberapa helai laporan tersebut sebelum dia menarik kerusi dan duduk di sebelahku.

“Ramai orang mati sebab perkara yang lazim. Kemalangan. Pergaduhan. Kecuaian. Dendam. Kau lain sedikit.”

Aku diam. Masih bingung.

“Kenapa kau mati?” Tanya dia.

“Sebelum itu, aku nak tahu dulu macam mana kau boleh bercakap dengan orang yang dah mati?”

“Membela kematian orang macam kau.” Matanya yang sedari tadi terpaku pada laporan, mengerling ke arahku.

Aku memandang tubuh sendiri di pintu kaca. Aku dapat lihat bibir aku yang kebiruan. Leher aku masih meninggalkan kesan merah. 

“Kenapa kau tak selidik sendiri kematian aku? Itu kan kerja kau.”

“Aku tetap akan autopsi tubuh kau,” jawabnya masih membelek laporan di tangan, “tapi forensik cuma boleh buat analisis macam mana manusia mati. Aku nak tahu macam mana kau boleh mati. Aku nak tahu cerita dari mulut kau sendiri.”

Keningku berkerut. Entah mengapa, lidahku terasa kelu setiap kali cuba menjawab soalan itu. Macam ada pergelutan dalam diri.

Aku cuba mengingati detik-detik akhir sebelum mati. Nafasku tersekat, dadaku terasa seperti dihenyak, dan pandanganku semakin kabur sebelum dunia bertukar gelap. Orang lain mungkin menganggapnya sekadar kemalangan, tetapi aku tidak mempercayainya. Rumah kami dihuni beberapa orang. Mustahil tiada seorang pun yang mendengar bunyi aku tercungap-cungap, bergelut mencari nafas. Aku yakin ada yang sengaja membiarkan aku mati.

“Laici.”

Lelaki itu mengangkat wajah. Nampak terkedu.

Aku hampir ketawa melihat reaksinya. Barangkali sepanjang hidupnya menjadi pakar forensik, dia tidak pernah menemukan manusia yang mati kerana laici.

Tanpa berkata apa-apa, dia bersilang kaki, tangannya mengetuk-ngetuk pen pada fail laporan. Dia menunggu cerita aku dengan sabar.

***

Ahad, aku ikut ayah ke pasar malam. Pasar malam itu sesak seperti biasa. Orang berjalan berselisih bahu. Bau ayam goreng, martabak dan asap sate memenuhi udara membuatkan aku sedikit pening. Ayah berjalan di hadapanku sambil tangan kirinya menjinjing plastik berisi sayur. Aku pula berjalan di belakang seperti anak kecil yang menunggu izin untuk meminta sesuatu walaupun usia aku kini sudah masuk 20 tahun.

Aku nampak longgokan laici di sebuah gerai buah. Merah dan kelihatan segar. 

“Ayah, rasa macam nak laicilah. Jarang nampak orang jual laici sekarang.”

Ayah pandang harga yang tergantung di tepi bakul buah itu sebelum mengeluh kecil. 

“Mahal.”

Aku terdiam. Aku tak minta ayah belikan. Cuma aku sudah terbiasa jika hendak beli apa-apa, aku akan beritahu ayah dahulu. Memang selalu begitu. Dan aku mudah pula membatalkan keinginan sendiri apabila melihat wajah orang lain berubah.

Namun entah mengapa, malam itu ayah belikan juga sekilo laici untuk aku. Seolah-olah aku memaksanya, tapi hakikatnya tidak.

Sepanjang perjalanan pulang, ayah bercakap tentang harga buah itu. Tentang pembaziran. Tentang bagaimana manusia sanggup membuang duit untuk benda yang tidak mengenyangkan. Aku hanya mendengar sambil memandang plastik laici di tangannya.

Sakit juga apabila sesuatu yang pada awalnya buat kita gembira, perlahan-lahan bertukar menjadi beban hanya kerana mulut manusia. Sedangkan selama ini, apabila ayah mahukan apa-apa, aku tidak pernah berkira.

Ayah mahu rokok, aku beli. Ayah mahu aku tambah duit minyak motor, aku hulur. Ayah mahu makan di luar, aku bayarkan walaupun duit dalam akaun aku sendiri tinggal cukup-cukup makan. Aku tidak pernah menyebut perkataan “membazir” kepada ayah.

Sampai di rumah, di ruang makan, ayah letak plastik laici di atas meja dengan agak kuat sebelum menyuruh aku menghabiskannya sendiri. 

“Mengada-ngada macam budak-budak.” Ayah mengomel.

Aku bawa plastik itu masuk ke bilik tanpa berkata apa-apa. Dada mula sesak menahan sedu sebak.

Aku duduk atas lantai, bersandar di tepi katil lalu mengupas laici satu demi satu. Isi buah itu mungkin manis, tetapi tekak aku terasa pahit.

Aku tidak pasti sejak bila aku mula menangis. Mungkin sewaktu teringat cara ayah mengeluh ketika membeli laici? Mungkin sewaktu teringat semua perkara yang aku pernah lakukan untuk keluarga tetapi tetap terasa tidak cukup? Atau mungkin ketika aku terlalu penat menjadi manusia yang sentiasa perlu memahami orang lain.

Air mata jatuh di tangan. Tapi aku terus makan. Sebiji demi sebiji. Tak berhenti, seolah-olah aku sedang menghukum diri sendiri, seperti sedang menelan semua kata-kata yang menyakitkan hati aku malam itu. Semakin banyak aku makan, semakin kuat rasa sebak yang menyesakkan dada.

Ada waktu nafasku menjadi pendek dan aku ingin berhenti. Namun mengingatkan wajah ayah dan kata-katanya, aku kembali mencapai buah-buah itu.

“Membazir.” Kata-katanya berlegar-legar dalam kepala.

Entah pada laici yang ke berapa, aku terasa sesuatu tersangkut di kerongkong. Aku terbatuk kecil lalu mencapai botol air di tepi katil. Air kuteguk tapi sangkutnya tetap di kerongkong.

Nafas yang masuk semakin sedikit. Aku cuba menelan berkali-kali, namun sesuatu itu masih kekal di situ, degil seperti kata-kata ayah yang tidak mahu keluar dari fikiran.

Dada aku terasa dicengkam. Kepala aku berpinar. Aku berusaha bangun sambil memegang leher sendiri sebelum terjatuh melanggar sebuah kerusi kecil.

Aku cuba panggil ayah. Tetapi yang keluar hanyalah bunyi nafas sendiri yang semakin pendek. Di luar bilik, televisyen masih terpasang kuat. Dan aku masih ingat suara ayah sayup-sayup dari ruang tamu.

“Makan lagilah tu. Bukan nak bagi sikit dekat kita. Kita pun teringin juga.”

Aku mati beberapa saat selepas itu. Ditemani longgokan kulit dan biji laici, juga kata-kata yang masih melekat dalam kepala.

***

Pegawai perubatan forensik itu menutup fail di tangannya. Wajahnya tenang, mungkin sudah terbiasa mendengar kisah manusia mati.

“Jadi kau rasa ayah kau bunuh kau?” Tanya dia.

Senyap.

Bunyi jam yang berdetik di dinding sahaja yang memecahkan keheningan ketika itu.

“Kenapa tak jawab?” Dia menggesa.

“Bukan.” 

“Habis?”

Aku berfikir agak lama. Siapa yang bunuh aku sebenarnya? Bukankah awal tadi aku bermati-matian merasakan aku dibunuh?

“Ayah cuma ungkit pasal laici. Aku pun tak sangka kata-kata itu akan ikut aku sampai mati. Ikutkan, itu hanya kata-kata.” Aku bersuara akhirnya.

“Aku… aku tak marahkan dia pun.” Sambungku.

Pegawai perubatan forensik itu menaikkan sebelah keningnya tanda ragu.

Aku sendiri tidak memahami perasaan itu. Sepatutnya aku membenci ayah. Seharusnya aku menyalahkan ayah atas segala yang berlaku. Namun setiap kali cuba berbuat demikian, yang tinggal hanyalah keinginan untuk melihat ayah tersenyum.

“Kalau aku hidup semula hari ini, aku tetap akan tunaikan semua permintaan ayah. Nak rokok? Nak duit? Malah, kalau ayah minta ratusan ribu pun akan aku usahakan.”

“Kenapa?”

“Sebab aku masih berharap ayah akan nampak aku. Nampak setiap pengorbanan dan keikhlasan aku.”

Aku tersenyum kecil.

“Sekarang aku dah mati pun aku masih berharap benda yang sama.”

Sekali lagi, kesunyian hadir di antara kami berdua. Dia merenungku. Aku pula seakan-akan takut untuk bertentang mata dengannya.

Pegawai perubatan forensik itu kemudian perlahan-lahan bangun dari kerusi. 

“Sudah puas kau bercerita?” 

“Mungkin.”

Aku pandang dia dan pandangannya tepat ke dalam mataku, tidak berkedip.

“Bagaimana dengan kau? Aku sudah menceritakan semuanya. Sekarang giliran kau pula. Bagaimana kau boleh bercakap dengan aku, sedangkan aku sudah mati?”

“Bukan kau yang cipta aku?” 

“Apa?”

Dia memandang sekeliling bilik mayat itu.

“Kau yang cipta aku. Kau yang cipta bilik ini. Kau yang cipta fail di tangan aku. Kau yang cipta semua soal siasat ini.”

Aku tertawa kecil.

“Mustahil.”

“Kau sebenarnya sedang mencari seseorang untuk dipersalahkan atas kematian kau. Tetapi kau tak jumpa sesiapa.”

Dia buka fail yang dipegang sedari tadi dan menunjukkan isinya kepadaku. Fail itu hanya berisi kertas-kertas kosong. 

“Kau tak jumpa pembunuh sebab tiada pembunuh.”

Aku memandangnya.

“Jadi kenapa aku di sini?”

Ada tawa kecil yang sinis kedengaran.

“Pendengar. Aku cuma alasan yang kau cipta supaya kau boleh terus bercerita.”

Tubuhnya mula pudar, perlahan terurai seperti asap.

Begitu juga bilik mayat itu. Begitu juga katil besi. Begitu juga bau antiseptik yang sejak tadi melekat di udara.

“Tugas aku sudah selesai…” Kalimat itu diucap perlahan, dan kedengaran semakin menjauh. Selepas itu, hanya tinggal hening.

Aku kembali bersendirian. Dadaku tidak lagi terasa padat dan sesak. Dan pada saat itu, aku sedar bahawa aku boleh sahaja menerima kematian. Apalah sangat sebuah kematian kerana semua yang hidup pasti akan merasai mati. Tetapi, yang sukar diterima ialah hakikat bahawa sehingga ke akhir hayat, aku masih berharap ada yang benar-benar ikhlas dan menghargai.

Jadi, bagi kau yang membaca cerita ini, adakah aku dibunuh?


Kategoriseni budaya

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.