Era digital mengubah landskap pendidikan secara menyeluruh termasuk cara murid mempelajari sejarah.
Jika dahulu kejayaan dalam mata pelajaran itu sering dikait dengan keupayaan menghafal fakta, tarikh dan peristiwa penting, kini pendekatan tersebut tidak lagi mencukupi.
Menurut guru cemerlang mata pelajaran berkenaan, Nurhashimah Nawawi, pembelajaran pada abad ke-21 menuntut murid memahami konsep, menganalisis peristiwa, membuat hubung kait antara fakta serta mengaplikasi kemahiran berfikir aras tinggi dalam mentafsir isu.
Beliau yang juga guru sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara 4 berkongsi panduan pembelajaran berkesan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Cara paling berkesan menghafal fakta dan tarikh penting
Menurut pendekatan pedagogi moden, hafalan yang berkesan bukan bersifat mekanikal tetapi berpaksi kepada teknik yang sistematik.
Kaedah seperti mnemonik, pengulangan berjarak dan memecah data maklumat membantu pelajar mengingati fakta dengan lebih lama. Sebagai contoh, tarikh penting boleh dikait dengan kata kunci tertentu atau cerita ringkas bagi menguatkan daya ingatan.
Dalam masa sama, teknik penulisan semula fakta secara berulang turut mengukuhkan daya ingatan jangka panjang seseorang pelajar.
Cara terbaik untuk memahami topik sejarah yang panjang dan banyak fakta
Ramai menganggap topik yang panjang sukar dipelajari kerana mengandungi banyak fakta, tarikh dan peristiwa. Namun, kunci utama bukanlah menghafal semata-mata tetapi memahami jalan cerita dan hubungan antara peristiwa.
Antara cara paling berkesan ialah membahagi topik kepada bahagian-bahagian kecil mengikut tema, kronologi atau peristiwa penting.
Pelajar boleh membina peta minda, carta alir atau garis masa bagi meneliti urutan peristiwa dengan lebih jelas. Kaedah itu membantu memahami sebab, tindakan dan kesan sesebuah peristiwa secara menyeluruh.
Pelajar juga disaran menggunakan teknik 5W1H iaitu teknik Apa (What), Siapa (Who), Bila (When), Di mana (Where), Mengapa? (Why) dan (How) ketika membaca. Kaedah itu membantu mereka memahami isi kandungan lebih mendalam dan mengurangkan kebergantungan kepada hafalan.
Buat nota ringkas atau peta minda
Kaedah ini salah satu strategi pembelajaran yang sangat berkesan. Ia membantu pelajar untuk menyusun maklumat yang banyak kepada bentuk lebih mudah, teratur dan menarik. Mereka dapat mengenal pasti fakta penting tanpa perlu membaca keseluruhan bab berulang kali.
Proses menghasilkan nota sendiri dapat meningkatkan kefahaman terhadap sesuatu topik. Semasa memilih dan menyusun maklumat penting, mereka sebenarnya sedang menganalisis dan memproses maklumat tersebut secara aktif.
Situasi berkenaan menjadikan pembelajaran lebih bermakna berbanding sekadar membaca atau menghafal fakta.
Teknik belajar tanpa bergantung pada hafalan semata-mata
Pembelajaran yang berkesan menuntut pelajar memahami sebab dan akibat sebuah peristiwa, bukan sekadar mengingati fakta. Soalan seperti 'mengapa peristiwa ini berlaku?' dan 'apakah kesannya?' perlu menjadi rutin dalam proses ulang kaji.
Pendekatan tersebut menjadikan sejarah lebih hidup dan bermakna, di samping melatih pelajar berfikir secara kritis seperti seorang sejarawan muda.
Cara memahami kronologi peristiwa supaya tidak keliru
Kekeliruan dalam kronologi antara punca kehilangan markah. Justeru, penggunaan garis masa interaktif dan teknik pengelompokan peristiwa mengikut tema atau era amat membantu.
Apabila pelajar memahami urutan peristiwa secara logik, mereka bukan sahaja menghafal, malah benar-benar memahami perkembangan sejarah secara menyeluruh.
Teknik kekal fokus ketika membaca topik yang panjang
Dalam era digital yang penuh gangguan, fokus semasa mengulang kaji antara cabaran utama. Teknik seperti Pomodoro (25 minit belajar, lima minit rehat) serta menetapkan matlamat kecil setiap sesi ulang kaji dapat meningkatkan produktiviti.
Selain itu, persekitaran pembelajaran yang kondusif tanpa gangguan gajet juga memainkan peranan penting dalam memastikan tumpuan yang optimum.
Adakah menonton dokumentari atau video sejarah membantu pelajar lebih faham topik?
Penggunaan dokumentari, video pendidikan dan animasi sejarah kini antara kaedah paling berkesan dalam menarik minat perhatian pelajar.
Visualisasi peristiwa menjadikan fakta lebih mudah difahami dan diingati. Pendekatan itu selari gaya pembelajaran generasi digital yang cenderung kepada bahan interaktif berbanding teks semata-mata.
Sumber rujukan tambahan selain buku teks
Walaupun buku teks sumber rujukan utama, pelajar disaran meneroka pelbagai sumber tambahan untuk memperkukuh pemahaman dan meluaskan pengetahuan mereka. Penggunaan sumber yang pelbagai membantu mereka melihat peristiwa daripada perspektif lebih luas dan menarik.
Antara sumber yang disyor ialah buku Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) sejarah terbitan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI. Buku ini menyediakan nota ringkas, latihan dan teknik menjawab soalan yang membantu pelajar membuat ulang kaji dengan lebih berkesan.
Mereka boleh memanfaatkan platform pembelajaran digital DELIMA seperti video pendidikan, infografik, kuiz interaktif dan portal pendidikan dalam talian.
Penggunaan bahan multimedia menjadikan pembelajaran menyeronokkan dan membantu pemahaman peristiwa melalui visual dan animasi.








