Pakar saran martabatkan bahasa kebangsaan, kuasai bahasa asing

28 Jun 2026, 3:00 AM
Pakar saran martabatkan bahasa kebangsaan, kuasai bahasa asing

Di sebalik ketegasan dalam usaha memartabat bahasa kebangsaan, kepentingan bahasa asing tidak wajar diketepi. Sebaliknya, pengetahuan tersebut harus dipelajari dan dikuasai.

Kebolehan sedemikian bukan sahaja berupaya membuka peluang kerjaya dengan lebih luas tetapi menambah jaringan antarabangsa dan meningkatkan nilai intelektual masyarakat.

Penguasaan bahasa asing juga bukan ancaman kepada kedaulatan bahasa Melayu selagi bahasa kebangsaan itu terus digunakan dengan betul dalam kehidupan harian dan bidang profesional.

Namun, Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Dr Hasuria Che Omar menegaskan peri pentingnya penggunaan bahasa dengan betul, bukan bercampur aduk seperti 'bahasa rojak'.

"Kalau bertutur dalam bahasa Melayu, guna bahasa Melayu secara penuh dan patuhi tatabahasa. Kalau guna bahasa Inggeris atau bahasa asing lain, jangan campur aduk dengan bahasa Melayu.

"Ini penting dalam memelihara bahasa kebangsaan. Pada masa sama, bahasa asing tidak kira bahasa apa pun, perlu kita pelajar dan kuasai sebaik-baiknya," katanya kepada Media Selangor.

Presiden Persatuan Penterjemahan Malaysia, Dr Hasuria Che Omar bercakap kepada media ketika ditemubual di Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 11 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau juga mengingatkan kira-kira 2,500 bahasa di seluruh dunia kini di ambang kepupusan berdasarkan data Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Dr Hasuria khuatir penggunaan bahasa rojak berlebihan menjejaskan keaslian dan kekuatan bahasa Melayu seterusnya berisiko menghakis identiti bahasa kebangsaan dalam jangka panjang.

“Kalau bahasa Melayu rojak, dia boleh hilang, dia boleh pupus ikut masa. Tapi kalau guna Bahasa Melayu Tinggi, kita sentiasa guna tatabahasa yang betul dan pemilihan kata yang tepat,” katanya.

“Bahasa Melayu berisiko pupus jika tidak dihidupkan, mungkin boleh mati. Kalau bahasa itu tidak digunakan, lama-kelamaan berlaku jurang generasi dan akhirnya penuturnya semakin berkurangan.

"Bahasa perlu terus digunakan dan disesuaikan dengan perkembangan semasa supaya generasi muda lebih mudah memahami dan menghayatinya,” kata bekas Pensyarah Pusat Bahasa & Terjemahan dan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Namun, beliau berpendapat penguasaan bahasa asing sebagai nilai tambah bagi memperluas pengetahuan, meningkatkan kemahiran kognitif dan membuka peluang kerjaya lebih luas, khususnya dalam bidang teknologi atau kecerdasan buatan.

Katanya, masyarakat perlu keseimbangan antara penguasaan bahasa asing dan usaha memartabat bahasa Melayu supaya identiti bahasa kebangsaan terpelihara dari generasi ke generasi.

Dr Hasuria juga memberi petua untuk mempelajari bahasa asing dengan pantas dan tepat iaitu kerap meletakkan diri dalam kalangan kelompok penutur bahasa asing yang dipelajari itu.

Kaedah tersebut menurut beliau akan memudahkan proses memahami budaya sesebuah masyarakat, cara penggunaan harian dan komunikasi sebenar secara langsung melalui interaksi dan pengalaman sebenar.

Penguasaan bahasa asing juga pertingkat daya intelektual seseorang, dari 'weltanschauung' atau cara pandang terhadap terhadap kehidupan, menghindar pemikiran sempit dan memudahkan pemahaman terhadap perkembangan teknologi dan pelbagai maklumat yang bersifat global.

Beliau memberitahu kebanyakan individu yang fasih bertutur bahasa asing juga mudah menempatkan diri tanpa kekok dengan mana-mana budaya baharu termasuk di lokasi atau negeri asing.

Kelebihan lain, kata Dr Hasuria antaranya penguasaan bahasa asing banyak mendedahkan penuturnya kepada pelbagai idea, konsep dan teknologi baharu yang mungkin belum wujud di tanah kelahirannya.

Justeru, beliau memuji pendekatan dan keseungguhan Kerajaan Selangor melabur peruntukan jutaan ringgit bagi mengadakan kelas asas bahasa asing atau Language Discovery sejak 2021 yang dikendalikan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Malah, Dr Hasuria juga mendedahkan bidang penterjemahan dalam konteks Malaysia berdepan kesukaran mencari penutur yang benar-benar fasih bahasa asing dan mahir bahasa kebangsaan.

"Satu usaha yang bagus. Sebab kita susah hendak cari individu yang mahir bahasa asing dan bahasa sumber (bahasa Melayu). Jadi dengan adanya kelas belajar bahasa asing, itu sangat baik, sangat digalakkan," katanya.

Lebih 10,000 peserta menyertai kelas berkenaan yang menawarkan pembelajaran bahasa asing secara percuma setakat ini. Hanya pada peringkat awal, bayaran serendah RM10 dikenakan bagi setiap kelas tersebut.

Pada fasa awal pelaksanaan antara 30 Julai sehingga 31 Disember 2021, program tersebut meraih kejayaan luar biasa dengan menawarkan lapan pilihan bahasa asing. Setakat 30 Mac lalu, seramai 2,960 orang menyertai 148 kelas kendalian 38 tutor.

Beliau juga mencadangkan peserta kelas bahasa asing supaya didedahkan ke dalam corak budaya yang diamal penutur asal bahasa berkenaan supaya proses pembelajaran lebih lancar dan cepat, misalnya mengadakan program dengan kerjasama dengan sesebuah kedutaan asing.

"Sebaik-baiknya peserta itu keluar, misalnya buat program sehari dengan kelompok masyarakat yang menutur bahasa yang dipelajari supaya penguasaan bahasa lebih cepat. Mereka juga dapat memahami lebih jelas dengan budaya penutur bahasa asal itu," katanya.

Dr Hasuria juga mencadangkan pertandingan berbentuk pengucapan awam dijalankan dalam satu-satu bahasa asing melalui tawaran hadiah menarik supaya peserta dapat menguji kemahiran berbahasa sekali gus menjadikan mereka lebih cekap dan mahir.

Selain itu, Presiden PPM itu juga tertarik apabila mengetahui Kerajaan Selangor menyediakan geran kewangan untuk menjalankan penterjemahan buku bertaraf antarabangsa melalui Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Justeru, beliau berharap usaha sedemikian, dari memartabat bahasa kebangsaan, pembelajaran bahasa asing dan penerbitan buku terjemahan, diterus dari masa ke semasa dan dipertingkat lagi.

Grafik Farah Azila Mustapha

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.