SHAH ALAM, 14 JAN: Penguasaan bahasa asing dalam kalangan anggota penguat kuasa di pintu masuk utama negara dilihat penting bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta memperkukuh keselamatan negeri dan negara.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata keperluan itu selaras dengan kedudukan Selangor yang mempunyai dua pintu masuk utama negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang.
"Selangor mempunyai dua pintu masuk utama negara, KLIA dan Pelabuhan Klang, perlu memberi perhatian serius terhadap isu kawalan sempadan demi menjamin keselamatan negeri dan negara, khususnya dalam membendung sebarang aktiviti terlarang," katanya dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu, Amirudin menerima kunjungan hormat daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang diketuai Ketua Pengarahnya Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Dalam pertemuan itu, Amirudin turut menyatakan sokongan terhadap usaha AKPS memperkukuh penguasaan bahasa asing dalam kalangan pegawai imigresen termasuk Bahasa Mandarin, Urdu dan lain-lain.
"Langkah ini selaras dengan inisiatif Kerajaan Negeri bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan profesionalisme di pintu masuk utama negara," katanya.
Pada masa sama, beliau berharap kerajaan dapat memperkukuh sistem kawalan sempadan, meningkatkan mutu perkhidmatan serta memastikan keselamatan negeri dan negara terus terpelihara demi kesejahteraan rakyat.
APKS merupakan agensi baharu yang diwartakan pada Oktober 2024 di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Akta 860 dengan peranan memperkukuh keselamatan negara serta membanteras jenayah rentas sempadan.
Kerajaan Negeri sebelum ini turut mengumumkan penawaran kelas bahasa asing percuma secara dalam talian kepada rakyat Selangor bermula tahun ini meliputi Bahasa Arab, Mandarin, Tamil, Perancis, Jerman dan Sepanyol.
Inisiatif bertujuan memperkukuh kemahiran pelbagai bahasa dan memupuk perpaduan itu diperkenalkan semula selepas mendapat sambutan baik ketika pandemik.





