"Maka genaplah dua belas bahasa diketahuinya."
Begitulah petikan dialog dalam Hikayat Hang Tuah yang memperihal akan kesungguhan dan kebolehan laksamana Melaka itu dalam mempelajari bahasa asing semasa zaman kanak-kanaknya.
Penguasaan yang dimilikinya membantu pendekar Melayu itu menjalin hubungan diplomatik dengan benua asing seterusnya mengangkat imej Kesultanan Melaka di mata dunia pada zaman tersebut.
Nyatalah, kehebatan Hang Tuah bukan sekadar berpencak silat menumbangkan seteru, sebaliknya kemahiran intelektualnya dalam berbahasa memartabatkan Kerajaan Melaka di mata dunia.
Petikan itu berdasarkan hikayat selenggaraan Kassim Ahmad terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1964 berdasarkan manuskrip lama yang tersimpan di Royal Asiatic Society, London.
Di Selangor, kepentingan bahasa asing tidak dipandang remeh, bahkan ia berjalan seiring usaha memartabat bahasa kebangsaan.
Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang giat mengadakan banyak acara perbukuan khususnya teks berbahasa Melayu turut mendidik masyarakat melalui pengajaran dan pembelajaran bahasa asing.
Sejak 2021, PPAS mengendalikan pelbagai kelas bahasa asing yang diperkenal Kerajaan Negeri ketika negara dilanda virus Covid-19 iaitu Language Discovery. Program tersebut masih diteruskan hingga ke tahun ini.
Menurut Dato' Menteri Besar, lebih 10,000 peserta telah menyertai inisiatif berkenaan setakat ini yang menawarkan pembelajaran bahasa asing secara percuma. Hanya pada peringkat awal, bayaran serendah RM10 dikenakan bagi setiap kelas.
“Kerajaan Negeri terus memperkukuh inisiatif program ini menerusi peruntukan RM500,000 dalam Belanjawan Selangor 2026. Antara bahasa yang ditawarkan ialah Mandarin, Arab, Perancis, Jerman dan Sepanyol,” kata Dato' Seri Amirudin Shari pada 3 Jun.
Pendafataran kelas tersebut bermula 9 Februari. Kelas pertama bagi tahun ini dijalankan pada 20 Februari iaitu bahasa Mandarin dan Perancis.
Setakat 30 Mac, seramai 2,960 orang menyertai 148 kelas kendalian 38 tutor yang dibantu 53 kakitangan PPAS. Setiap kelas dihadiri 20 peserta meliputi 12 sesi. Bagaimanapun, seramai 6,514 peserta lagi masih menunggu kelas.
Daripada jumlah itu, seramai 840 peserta mengikuti 42 kelas bahasa Mandarin, Perancis (600 peserta dan 30 kelas), Arab (440 peserta dan 22 kelas), Inggeris (200 peserta dan 10 kelas), Tamil (180 peserta dan sembilan kelas), Jerman (80 peserta dan empat kelas), Sepanyol (60 peserta dan tiga kelas) dan Rusia (40 peserta dan dua kelas).
Program tersebut adalah sinambungan iniasiatif yang dijalankan sejak 2021. Pada fasa awal pelaksanaan antara 30 Julai sehingga 31 Disember 2021, program tersebut meraih kejayaan luar biasa dengan menawarkan lapan pilihan bahasa asing.
Pembelajaran yang terbuka kepada orang awam itu dijalankan dalam talian. Seramai 4,611 peserta menyertai pembelajaran asas selama sejam melalui aplikasi Zoom atau Google Meet.
Seramai 996 peserta mengikuti kelas bahasa Mandarin, Jepun (626), Perancis (548), bahasa Inggeris (548), Arab (484), Korea (303), Jerman (309), Turki (187), Itali (181), Tamil (162), Sepanyol (142), Belanda (70) dan Rusia (19).
Dalam program itu, seramai 69 tutor terdiri daripada tenaga pengajar profesional terlibat dalam menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran bahasa asing. Mereka dibantu 49 kakitangan PPAS.
Peruntukan sebanyak RM365,000 daripada pentadbiran negeri digunakan bagi membiayai yuran tenaga pengajar. Hasilnya, sebanyak 320 kelas diadakan setiap minggu. Seramai 2,979 peserta menamatkan pengajian.
Antara 3 Mac hingga 26 Oktober 2023 pula, 15 pilihan bahasa asing ditawarkan antaranya Jerman, Perancis, Jepun, Arab, Sepanyol, Itali, Mandarin, Turki, Korea dan Belanda.
Seramai 232 orang menyertai kelas berkenaan termasuk 23 kanak-kanak. Sebanyak 18 kelas dijalankan 15 tutor yang dibantu 46 kakitangan PPAS.








