SHAH ALAM, 15 FEB: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi memperkasa usahawan Bumiputera.
Kerjasama itu antara lain menyediakan akses pembiayaan lebih luas kepada syarikat Bumiputera berpotensi dan matang selepas menamatkan program pembangunan usahawan Hijrah Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Selangor, Dato’ Mearia Hamzah berkata usahasama tersebut akan mengukuhkan peranan Hijrah Selangor sebagai nadi ekosistem keusahawanan negeri.
“Kerjasama ini penting dalam melahirkan usahawan Bumiputera berskala sederhana dan matang selaras dengan matlamat kerajaan negeri membina ekonomi rakyat yang inklusif dan lestari.
“Kerjasama strategik ini juga membuka peluang lebih luas kepada usahawan Hijrah Selangor untuk berkembang daripada peringkat mikro ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata dengan sokongan pembiayaan dan pembangunan daripada TERAJU, lebih ramai usahawan mikro dijangka dapat mengembangkan perniagaan.
Majlis pertukaran MoU menyaksikan Hijrah Selangor diwakili Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah, manakala TERAJU diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Junady Nawawi.



