SHAH ALAM, 25 JUN: Keperluan pengesahan umur bagi pengguna media sosial sedia ada akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan, dengan pengguna berusia bawah 16 tahun diberi masa sebulan untuk memuat turun atau memindahkan data sebelum akaun mereka disekat atau digantung.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu dilaksanakan di bawah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code - CPC) yang diterbitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 22 Mei lalu dan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026 menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).
Beliau berkata CPC mewajibkan penyedia platform media sosial melaksanakan mekanisme pengesahan umur (age verification), bukannya pengesahan identiti, bagi memastikan pematuhan terhadap had umur minimum penggunaan media sosial.
"Pengguna yang telah mencapai umur 16 tahun dibenarkan mendaftar dan memiliki akaun media sosial, manakala individu di bawah umur tersebut tidak dibenarkan membuka atau memiliki akaun media sosial sehingga mencapai umur yang ditetapkan," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (HARAPAN - Ampang) mengenai pendekatan penguatkuasaan pengesahan had umur media sosial serta tanggungjawab kerajaan, platform media sosial dan ibu bapa dalam melindungi kanak-kanak di ruang digital.
Menurut beliau, pelaksanaan itu bukan bertujuan menghalang kanak-kanak menggunakan media sosial secara kekal, sebaliknya menangguhkan pemilikan akaun sehingga mereka mencapai usia 16 tahun melalui inisiatif "Tunggu 16".
Katanya, sepanjang tempoh pelaksanaan enam bulan itu, pengguna bawah umur yang dikenal pasti akan diberikan masa selama sebulan untuk menyimpan gambar, video dan data lain sebelum penyedia platform mengambil tindakan terhadap akaun mereka.
Selain melaksanakan pengesahan umur, penyedia platform media sosial juga diwajibkan mengambil langkah perlindungan bagi mengelakkan kanak-kanak terdedah kepada kandungan memudaratkan dan interaksi yang tidak selamat.
Pada masa sama, penyedia perkhidmatan berlesen perlu mengenal pasti serta mengurangkan risiko kandungan berbahaya secara berterusan, selain menyediakan pelan keselamatan dalam talian bagi membuktikan pematuhan terhadap Akta 866.
Kementerian Komunikasi dan SKMM kini sedang memuktamadkan Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Pelan Keselamatan Dalam Talian) yang disasarkan berkuat kuasa pada 1 Julai 2026.
Fahmi berkata kerajaan juga akan terus memperkukuh program literasi digital dan Kempen Internet Selamat, di samping mengingatkan ibu bapa supaya memainkan peranan aktif memantau penggunaan internet oleh anak-anak selaras dengan prinsip "peranti bukan pengasuh".





