KPM lantik 8,042 guru baharu, 5,845 graduan PISMP ditempatkan Ogos ini

25 Jun 2026, 8:11 AM
KPM lantik 8,042 guru baharu, 5,845 graduan PISMP ditempatkan Ogos ini

SHAH ALAM, 25 JUN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melantik 8,042 guru baharu sehingga 10 Jun lalu, manakala 5,845 graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dijangka ditempatkan di sekolah seluruh negara bermula Ogos ini.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata pengisian jawatan guru dilaksanakan secara berperingkat dalam kalangan graduan pendidikan lepasan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), universiti awam, universiti swasta dan universiti luar negara berdasarkan unjuran, kekosongan jawatan serta keperluan opsyen mata pelajaran di sekolah.

Beliau berkata graduan yang memenuhi syarat lantikan, menepati kluster mata pelajaran dan berjaya dalam temu duga akan ditawarkan pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku pihak berkuasa melantik.

"KPM juga akan menerima bekalan seramai 5,845 pelajar PISMP yang akan bergraduat pada Jun 2026 dan dijangka ditempatkan di sekolah pada Ogos 2026," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) mengenai jumlah graduan pendidikan yang masih belum ditempatkan sebagai guru tetap, punca kelewatan serta pelan penyelesaian kementerian.

Menurut Fadhlina, antara langkah yang dilaksanakan ialah pengambilan guru sebanyak dua kali setahun bagi membolehkan graduan pendidikan dilantik dalam tempoh lebih singkat selepas tamat pengajian.

Selain itu, graduan yang telah memperoleh keputusan senat juga boleh mengemukakan permohonan melalui portal mySPP yang dibuka sepanjang tahun.

Fadhlina berkata KPM akan terus menambah baik proses pengisian jawatan guru baharu menerusi kerjasama rapat dengan SPP dan agensi pusat bagi memastikan isu kekurangan guru di seluruh negara dapat ditangani.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.