SHAH ALAM, 28 MEI: Seorang buruh dipenjara 47 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini kerana mencederakan adik tiri lelaki dengan spanar kerana enggan memulangkan motosikal miliknya.
Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Firdaus Mohd Amin, 44, selepas mengambil kira kesalahan dilakukan, kecederaan mangsa serta rekod lampau tertuduh.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan adik tiri berusia 28 tahun di sebuah rumah di Jalan Pantai, Batu Pahat pada jam 1.15 pagi, 1 September tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertengkar dengan adik tirinya kerana didakwa enggan menyerahkan motosikal miliknya.
Kemuncak pertengkaran itu menyebabkan tertuduh mengambil spanar lalu menghentak muka mangsa sehingga berlumuran darah.
Akibat kejadian itu, mangsa parah di muka dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh berhadapan tiga lagi pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki heroin dan air kencing positif morfin.
Tertuduh mengaku bersalah dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi semua dua pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) dan 15 bulan bagi Seksyen 15 (1) (a).
Mahkamah memutuskan kesemua hukuman penjara termasuk kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh ditangkap, 24 dan 28 Oktober tahun lalu.
Ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 15 bulan.
Selain itu, tertuduh juga diperintah menjalani pengawasan selama tiga tahun sebaik hukuman penjara selesai.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Aizuddin Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan dan Normaahani Rais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).








