Ahli IKRAM didakwa lagi, berdepan 17 pertuduhan pengubahan wang haram RM17.9 juta

25 Jun 2026, 6:22 AM
Ahli IKRAM didakwa lagi, berdepan 17 pertuduhan pengubahan wang haram RM17.9 juta

SHAH ALAM, 25 JUN: Seorang ahli Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Hulu Selangor didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM17.9 juta antara 2021 hingga 2025.

Tertuduh, Fakhrudin Abd Karim, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus, lapor Kosmo!.

Mengikut pertuduhan, Fakhrudin didakwa memindahkan wang berjumlah RM10.54 juta daripada akaun Ehsan Cares Solution ke akaun sebuah syarikat bagi pembayaran cadangan pembinaan banglo baharu di Bandar Kundang, Gombak yang merupakan kediamannya.

Beliau turut didakwa emindahkan RM2.66 juta daripada akaun sama ke akaun kad kredit miliknya bagi tujuan pembayaran kad kredit.

Bagi 10 pertuduhan lain, tertuduh didakwa memindahkan RM4.7 juta daripada akaun Ehsan Cares Solution ke akaun dua syarikat bagi pembayaran beberapa kenderaan mewah termasuk Mercedes-Benz AMG S63, Range Rover SVA, Porsche 911 Carrera S, Porsche 911 Turbo S, Toyota Alphard dan Lexus RX300.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua bank di Bangsar dan Bukit Bintang, Kuala Lumpur antara 6 Januari 2021 hingga 21 April 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan syarat sama seperti yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Akram Gharib manakala tertuduh diwakili peguam Datuk N. Sivananthan.

Mahkamah menetapkan 7 Ogos depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Pada 16 Jun lalu, Fakhrudin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 158 pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi memperoleh suapan berjumlah RM98.27 juta antara 2021 hingga tahun lalu.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.