SHAH ALAM, 2 MAC: Umat Islam di negara ini perlu bertindak tegas, adil dan berlandaskan prinsip rahmah tanpa berkompromi terhadap perbuatan menghina agama, termasuk insiden memijak al-Quran yang tular baru-baru ini.
Pegawai Kanan Jabatan Pendidikan Masyarakat, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Atriza Umar berkata undang-undang negara telah memperuntukkan hukuman jelas terhadap kesalahan yang menyentuh sensitiviti agama serta mengancam ketenteraman awam.
Menurut Atriza Umar, dalam ketegasan menuntut hukuman, umat Islam di negara ini mesti menampilkan wajah Islam yang rahmah menerusi konsep Asas Islam Rahmah (AISAR).
“AISAR bukan pendekatan lembik. AISAR bukan toleransi membuta tuli. AISAR ialah keseimbangan antara ketegasan dan hikmah. Antara keadilan dan kasih sayang. Antara mempertahankan prinsip dan memulihkan masyarakat.
“Dalam kerangka AISAR, ada beberapa asas penting. Pertama, maruah agama mesti dipertahankan. Kedua, undang-undang mesti ditegakkan. Ketiga, pendidikan masyarakat mesti diperkasa agar penghinaan seperti ini tidak berulang,” katanya menerusi kenyataan.
Atriza menyifatkan insiden tersebut sebagai cerminan bahawa tahap literasi agama dalam kalangan generasi muda masih perlu diperkukuh bagi mengelakkan benih ekstremisme atau Islamofobia terus bercambah.
Menurutnya, sebagai langkah penyelesaian jangka panjang, kerajaan wajar membina ekosistem kefahaman yang menyeluruh mengenai isu sensitiviti agama di semua peringkat institusi pendidikan, termasuk memperluas usaha itu menerusi platform digital.
“Namun jangan silap faham, pendidikan tidak menggugurkan keperluan hukuman. Hukuman yang tegas adalah mesej jelas bahawa negara tidak akan berkompromi dengan penghinaan agama. Ia menjadi benteng pencegahan,” katanya.
Pada 25 Februari lalu, penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial.
Pelajar tersebut didakwa memuat naik hantaran gambar sedang memijak naskhah al-Quran sehingga hantaran tersebut tular di media sosial.
Kejadian itu menimbulkan kemarahan umat Islam dan polis menerima sebanyak 28 laporan polis di seluruh negara mengenai kes berkenaan.
Lelaki berumur 21 tahun itu direman sehingga esok bagi melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.








