SHAH ALAM, 25 JUN: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesan taktik baharu menggunakan gambar MyKad milik individu lain yang disimpan dalam telefon bimbit bagi membolehkan seseorang didaftarkan sebagai pekerja dalam Ops Kisar di sebuah kilang pemprosesan makanan sejuk beku di Pulau Indah, Klang semalam.
Operasi bermula jam 6.30 petang itu dijalankan JPN membabitkan pegawai dari Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor.
Difahamkan, individu terbabit hanya menunjukkan gambar kad pengenalan dalam telefon tanpa mengemukakan MyKad fizikal sebelum didaftarkan sebagai pekerja.
Ketua Pengarah JPN Datuk Badrul Hisham Alias berkata, gambar kad pengenalan itu dipercayai sudah diubah suai sebelum digunakan ketika proses pendaftaran pekerja.
"Dia ambil kad pengenalan kemudian tukar gambar dan ambil gambar di telefon. Dia datang sini (tempat kerja) tunjuk gambar dekat telefon kemudian terus 'enroll' (didaftarkan sebagai pekerja).
"Sangat mudah, tidak ada (MyKad fizikal). Jadi majikan perlu memainkan peranan dan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan ia adalah benar-benar pemilik (MyKad), kalau menggunakan pasport, ia tidak tamat tempoh dan kalau MyKad ia adalah kad fizikal," katanya pada sidang media selepas operasi itu, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, penggunaan kad pengenalan milik individu lain didakwa dipinjam daripada kenalan tanpa sebarang bayaran, manakala bagi kad pengenalan palsu, ada yang membayar RM350 untuk satu dokumen berkenaan.
Susulan itu, Badrul Hisham berkata, pihaknya menahan 36 individu membabitkan 32 wanita dan empat lelaki berusia antara 18 hingga 50 tahun dengan kebanyakannya berasal dari Indonesia dalam operasi berkenaan.
Katanya, mereka disyaki menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain untuk bekerja.
"Kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan individu ditahan dibawa ke JPN Putrajaya untuk siasatan lanjut," katanya.
Operasi turut menahan 33 warga asing yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen dan pihak JTK akan mengambil tindakan terhadap kilang berkenaan mengikut akta jabatan berkenaan.









