SHAH ALAM, 24 JUN: Keterujaan seorang kanak-kanak untuk menunjukkan ikan yang berjaya dipancing kepada keluarganya berakhir tragedi apabila maut dirempuh lori dalam kejadian di Jalan Kampung Kesapang, Kota Belud semalam.
Mangsa, Muzamir Mahadir, 12, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 5.40 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai tiba-tiba berlari ke arah jalan raya sebelum bergesel dengan sebuah Perodua Bezza.
Menurutnya, perlanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh di jalan raya.
“Pada masa sama, sebuah lori yang berada di belakang Perodua Bezza gagal mengelak lalu merempuh mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dialami.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, beberapa saksi memaklumkan mangsa baru selesai memancing dan berasa gembira selepas berjaya memperoleh ikan.
Mangsa dikatakan mahu menunjukkan hasil tangkapannya kepada ahli keluarga sebelum melintas jalan, namun tidak kesampaian apabila terbabit dalam kemalangan.







