SHAH ALAM, 24 JUN: Sebanyak 301 premis pusat jagaan berdaftar beroperasi di Petaling Jaya setakat Mei lalu dengan taska merekodkan jumlah tertinggi iaitu 123 premis.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata, selain taska, terdapat 72 premis penjagaan warga emas, 56 pusat jagaan kanak-kanak, 29 pusat penjagaan orang kurang upaya (OKU) manakala selebihnya rumah kebajikan.
Menurutnya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) komited bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam melaksanakan program signifikan bagi memacu pertumbuhan ekonomi penjagaan selaras Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025-2030.
“Tahun ini, kita bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Kesihatan Daerah dalam memperkenalkan Program Sistem Penarafan (Grading) premis taska dan pusat jagaan.
“Ini bertujuan menilai tahap kualiti perkhidmatan, keselamatan dan pematuhan terhadap garis panduan dan syarat kelulusan,” katanya dihubungi Media Selangor.

Katanya lagi, pihaknya juga giat memperkesa Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor 2024-2030 ke peringkat tempatan melalui penyediaan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025 – 2030.
Jelasnya, bantuan penyediaan makanan sihat, pemantauan pengambilan ubat-ubatan dan khidmat kesihatan secara berterusan kepada warga emas yang tinggal bersendirian melalui program PJ Food With Love terus diperluas dengan penjenamaan semula kepada PJ Care.
“Program Sehenti juga diteruskan agar tiada lagi keciciran kepada premis taska dan pusat jagaan
tidak berdaftar memperolehi kelulusan dan beroperasi secara sah.
“Program Latihan dan Kompetensi Gunatenaga Penjagaan bagi meningkatkan tahap profesionalisme, kemahiran dan kecekapan pengendali serta penyelia pusat jagaan juga akan dijalankan,” katanya.
Sebelum ini, MBPJ dipilih menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Selangor yang melaksanakan pelan tindakan ekonomi penjagaan.
Pelan bagi menyokong Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor (DEPNS) 2024–2030 dilaksanakan kerana Petaling Jaya memiliki populasi mencecah lebih 2.3 juta, sekali gus menjadi antara kawasan padat dan membangun.
Selangor melancarkan DEPNS sebagai persediaan menghadapi situasi negeri menua apabila 8.1 peratus daripada penduduknya berumur 65 tahun ke atas.
Dasar itu memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu advokasi dan promosi, tata kelola dan kawal selia, penjaga terlatih dan tenaga kerja, pelaburan dan kerjasama serta inovasi, teknologi dan data.
Ia menumpu kepada aspek penjagaan warga emas, kanak-kanak dan OKU serta pengukuhan sokongan kepada komuniti penjaga formal dan tidak formal.








