IMO umum pelan pemindahan lebih 11,000 pelaut terkandas di Selat Hormuz

24 Jun 2026, 1:27 AM
IMO umum pelan pemindahan lebih 11,000 pelaut terkandas di Selat Hormuz

LONDON, 24 JUN: Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) pada Selasa mengumumkan pelan pemindahan bagi lebih 11,000 pelaut yang masih terkandas di Selat Hormuz, lapor Xinhua.

IMO telah memperoleh jaminan keselamatan yang diperlukan dan mengesahkan keadaan pelayaran yang selamat bagi menyokong operasi pemindahan itu, kata Setiausaha Agung IMO Arsenio Dominguez dalam satu kenyataan.

Menurut Dominguez, operasi itu menyusul selepas pemeteraian memorandum persefahaman antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) dan akan dilaksanakan menerusi kerjasama rapat dengan Iran, Oman, negara-negara lain di rantau berkenaan serta industri maritim.

Beliau mengalu-alukan perjanjian damai antara Iran dan AS, sambil menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah memulihkan keselamatan maritim serta menamatkan serangan terhadap perkapalan awam selepas konflik berbulan-bulan yang menyebabkan kesukaran kepada ribuan pelaut dan mengganggu perdagangan global.

Dominguez turut memberi penghormatan kepada 14 pelaut yang terkorban semasa konflik itu, sambil menyatakan bahawa jasa mereka kepada perdagangan global tidak akan dilupakan.

Selain itu, beliau menegaskan semula komitmen organisasi berkenaan untuk memastikan keselamatan pelaut serta kesinambungan perdagangan global.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.