Titah Sultan Selangor angkat realiti rakyat, tekankan imbangan ekonomi

20 Apr 2026, 9:20 AM
Titah Sultan Selangor angkat realiti rakyat, tekankan imbangan ekonomi

SHAH ALAM, 20 APRIL: Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mencerminkan realiti sebenar dihadapi rakyat, selain menekankan keperluan pendekatan seimbang antara pengurusan kewangan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim berkata titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj itu selari dengan isu yang sering dibangkitkan rakyat, khususnya melibatkan perkara asas di peringkat setempat.

"Banyak titah Tuanku menyentuh perkara asas yang dirasakan rakyat Selangor. Isu jalan dan banjir ini antara perkara yang setiap kali sidang dewan kita bangkitkan kerana ia memberi kesan langsung kepada kehidupan harian penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Menurutnya, sebahagian isu berkenaan merupakan isu legasi yang memerlukan penyelesaian secara berperingkat, namun rakyat terus mengharapkan tindakan lebih menyeluruh.

"Sebagai rakyat yang terkesan, semestinya mereka menunggu bilakah perkara ini dapat diselesaikan secara berkesan.

"Justeru, saya melihat ini sebagai waktu yang tepat untuk Kerajaan Selangor mengambil langkah lebih progresif dan agresif dalam menangani isu-isu berkenaan," ujarnya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim.

Mengulas lanjut, Izuan berkata titah Sultan Selangor turut menekankan kepentingan pengurusan kewangan secara berhemah dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

"Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, kita memang memerlukan langkah penjimatan. Namun kerajaan tidak boleh hanya menumpukan kepada penjimatan semata-mata.

"Kita masih memerlukan suntikan bagi memastikan ekonomi terus bergerak dan sektor swasta tidak terjejas sehingga menutup operasi atau mengurangkan tenaga kerja," tambahnya.

Beliau turut berpandangan Pakej Daya Tahan Selangor mampu memberi kelegaan awal kepada rakyat, selain berharap inisiatif susulan yang lebih tertumpu kepada sektor industri dan perniagaan dapat diperkenalkan.

"Pakej daya tahan ini memberi sedikit kelegaan, namun kita harap akan ada pendekatan susulan yang lebih tertumpu kepada industri dan perniagaan.

"Ini penting bagi memastikan mereka dapat terus beroperasi dan menyumbang kepada ekonomi negeri," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.