ad
AGENDA

10,000 pelatih industri digerak ke negeri terjejas bah baiki alatan elektrik

6 Dis 2024, 12:38 PM
10,000 pelatih industri digerak ke negeri terjejas bah baiki alatan elektrik

PUTRAJAYA, 6 DIS: Kira-kira 10,000 pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) serta Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) akan digerakkan ke negeri terjejas banjir bagi menawarkan khidmat misi pascabanjir serta membaik pulih peralatan elektrik yang rosak.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata kemahiran pelajar ILP dan ADTEC dalam membaik pulih peralatan elektrik dapat membantu meringankan beban mangsa banjir sekali gus menjimatkan perbelanjaan.

“(Pelajar) akan melihat plug, wiring dan sebagainya supaya bila mereka (mangsa banjir) balik rumah boleh guna semula peralatan elektrik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skuad Ihsan MADANI: Wira KESUMA di sini hari ini.

Beliau berkata bagi ILP yang mempunyai kepakaran dari sudut permotoran, pelajar juga akan digerakkan untuk memeriksa kereta atau motosikal yang terjejas.

Mengenai Skuad Ihsan MADANI kementerian, Abdul Rahman berkata seramai 1,187 sukarelawan daripada pelbagai agensi di bawah kementerian digerakkan ke Kelantan bagi membantu misi pascabanjir.

“Kelantan ialah negeri angkat bagi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) buat masa ini, saya percaya bukan di Kelantan sahaja kerana ia bergantung kepada keadaan banjir yang melanda,” katanya.

Beliau berkata agensi di bawah KESUMA iaitu Human Resource Development Corporation (HRD Corp) juga bersetuju menyumbang RM700,000 bagi membantu mangsa banjir.

Pada majlis itu, Bank Islam turut menyerahkan sumbangan pascabanjir berjumlah RM80,000 kepada Jabatan Tenaga Manusia.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.