SHAH ALAM, 24 MAC: Permohonan Bantuan Asas Yuran Universiti (BAYU) bagi sesi kemasukan April di Universiti Selangor (UNISEL) kini dibuka.
Inisiatif itu merupakan bantuan berbentuk tajaan yuran asas yang bertujuan meringankan beban ibu bapa daripada kategori berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).
BAYU adalah antara usaha Kerajaan Negeri dalam membantu anak Selangor melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“BAYU merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri untuk memberi pelepasan yuran asas bagi anak dan pemastautin negeri Selangor yang bakal menyambung pengajian di UNISEL.
“Menerusi program ini, UNISEL yakin bahawa pelajar dari kategori B40 dan M40 secara khususnya akan menerima manfaat bernilai RM500 untuk tujuan pembiayaan yuran asas,” kata UNISEL menerusi Facebook.

Permohonan BAYU boleh dibuat melalui pautan http://apply.unisel.edu.my atau membuat imbasan kod QR di poster tertera. Antara syarat permohonan:
Terbuka kepada pelajar UNISEL yang sedang mengikuti Tahun Asas, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda yang lahir di Selangor atau pemastautin lebih dari 10 tahun di Selangor.
Pemohon, ibu bapa adalah warganegara Malaysia.
Pemohon atau ibu atau bapa lahir di Selangor.
Pada 14 November lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM17.38 juta bagi pelaksanaan Subsidi Yuran Pendidikan kepada 400 anak Selangor yang melanjutkan pengajian di UNISEL dan Universiti Islam Selangor (UIS), melibatkan tanggungan 50 peratus yuran bagi sesi kemasukan September 2026.
Sementara itu, UIS berkata permohonan kemasukan ke universiti tersebut juga kini dibuka untuk program Asasi, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.
Menurutnya, tarikh pendaftaran pelajar baharu pada 20 Jun dan 21 Jun ini dan permohonan boleh dibuat melalui laman web wadah.uis.edu.my atau membuat imbasan pada kod QR di poster tertera.










