SHAH ALAM, 23 JUN: Kerajaan Negeri bersedia menyemak semula bantuan kesihatan di bawah program Iltizam Selangor Sihat (ISS) bagi memastikan setiap inisiatif yang disediakan kekal relevan serta memenuhi keperluan semasa rakyat.
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata antara bantuan yang telah ditambah baik ialah rawatan dialisis, dengan kadar bantuan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000 bermula tahun lalu.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri komited untuk memastikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan menyeluruh menerusi pelaksanaan program ISS.
"Berdasarkan kadar manfaat yang disediakan, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa jumlah bantuan yang diberikan adalah setimpal dengan kos rawatan kesihatan semasa.
"Selangor bersedia untuk melaksanakan semakan semasa ke semasa bagi memastikan prosedur bantuan kesihatan dipermudahkan dan had bantuan relevan dengan kos dari semasa ke semasa. Cuma ingin dimaklumkan semakan ini dijalankan pada tahun lepas, belum sampai setahun lagi," katanya.
Beliau berkata ketika sesi penggulungan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Terdahulu, Jamaliah menjelaskan selain dialisis, penerima rawatan asas dan vaksinasi bawah program ISS menerima bantuan RM500 setahun, penyakit kritikal pula sehingga RM5,000 sekali tuntutan dan hospitalisasi pula sehingga RM10,000 setahun.
Sementara itu, Jamaliah yang juga EXCO Alam Sekitar memaklumkan Kerajaan Negeri kini sedang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh dan memperluaskan pelbagai inisiatif yang menggalakkan pemasangan sistem tenaga solar.
"Selangor juga turut bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi mempromosi dan memperluaskan pelaksanaan inisiatif sedia ada di peringkat Persekutuan supaya dapat dimanfaatkan secara lebih meluas.
"Sebagai contoh sehingga tahun lalu, berdasarkan data Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari atau SEDA Malaysia, di bawah program Net Energy Metering Bangunan Kerajaan, sejumlah 70 bangunan kerajaan di Selangor termasuk bangunan PBT telah berdaftar di dalam skim ini," ujarnya.






