Selangor kaji semula klasifikasi taman permainan kanak-kanak dalam bangunan

22 Jun 2026, 5:58 AM
Selangor kaji semula klasifikasi taman permainan kanak-kanak dalam bangunan

SHAH ALAM, 22 JUN: Kerajaan Negeri sedang melaksanakan kajian berhubung cadangan mengklasifikasi semula taman permainan kanak-kanak dalam bangunan yang kini dikategorikan di bawah lesen hiburan.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata beliau mengambil maklum keluhan pemilik premis taman permainan kanak-kanak dalam bangunan yang perlu membayar kenaikan cukai duti hiburan sehingga RM6,390.

“Saya ambil maklum perkara demikian. Sekarang memang kita galakkan tempat-tempat pelancongan ini sempena Tahun Melawat Selangor 2026. Jadi Kerajaan Negeri akan buat kajian dan kita sedang buat kajian.

“Sebenarnya banyak perjumpaan sudah dibuat. Oleh kerana ia di bawah enakmen cukai hiburan, ia perlu dikaji secara menyeluruh. Kita dapati, unsur-unsur pendidikan itu memang ada,” katanya pada sidang media di lobi Wisma Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Suee Lim berkata, Selangor berhasrat melakukan sesi libat urus bersama Kerajaan Pulau Pinang bagi memastikan kedua-dua duti tersebut diletakkan berasingan tanpa membuat pindaan enakmen.

Jelasnya, pelaksanaan tersebut dijangka mampu berjalan lancar dengan sokongan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor serta beberapa agensi terlibat.

“(Kaji wujudkan duti baharu) iaitu edu-entertainment. Ini boleh kita elak daripada kekangan enakmen duti hiburan supaya kita boleh kurangkan kadar tersebut. Kita cuba bantu,” katanya.

Media sebelum ini, melaporkan Presiden Persatuan Taman Tema dan Tarikan Keluarga Malaysia (MATFA) menggesa Kerajaan Selangor mengkaji semula cadangan mengklasifikasikan taman permainan kanak-kanak di bawah kategori lesen hiburan.

Presidennya Richard Koh berkata langkah tersebut akan menyebabkan peningkatan mendadak yuran pelesenan tahunan hampir 13 kali ganda menerusi pelaksanaan kenaikan duti hiburan, bermula tahun depan.

Sebelum ini, Selangor mengumumkan pengurangan kadar duti hiburan daripada 25 peratus kepada lima peratus ke atas panggung wayang, taman tema dan konsert selama lima tahun berkuat kuasa 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2026.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.