KUALA LUMPUR, 21 JUN: Persatuan Taman Tema dan Tarikan Keluarga Malaysia (MATFA) menggesa Selangor mengkaji semula cadangan untuk mengklasifikasikan taman permainan kanak-kanak di bawah kategori lesen hiburan kerana langkah itu akan menyebabkan peningkatan mendadak yuran pelesenan tahunan.
Presiden MATFA Tan Sri Richard Koh berkata pengelasan semula yang dicadangkan itu akan menyaksikan yuran tahunan meningkat hampir 13 kali ganda, sekali gus menambah tekanan kewangan kepada pengendali kemudahan permainan kanak-kanak yang menyediakan ruang rekreasi mampu milik untuk keluarga, khususnya daripada kumpulan B40 dan M40.
“Kami merayu kepada Kerajaan Negeri supaya mempertimbangkan semula rancangan untuk mengklasifikasikan taman permainan kanak-kanak di bawah kategori Lesen Hiburan, yang akan menyebabkan lonjakan yuran tahunan daripada RM500 kepada RM6,390,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Richard berkata taman permainan kanak-kanak adalah ruang komuniti penting yang membolehkan keluarga menjalankan aktiviti bermain, bersenam dan mengeratkan hubungan dalam persekitaran yang selamat.
Tambahnya, MATFA turut mencadangkan supaya kemudahan itu terus diklasifikasikan di bawah lesen rekreasi, dengan pengecualian yuran dipertimbangkan bagi kemudahan yang memberi perkhidmatan kepada golongan berpendapatan rendah.
“Walaupun MATFA mengalu-alukan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 bernilai RM209.26 juta sebagai langkah yang tepat pada masanya untuk membantu perniagaan mengharungi ketidaktentuan ekonomi, kami berharap Kerajaan Negeri tidak mengabaikan industri tarikan keluarga yang turut terjejas akibat kelembapan ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu, MATFA mengulangi gesaannya kepada kerajaan Persekutuan supaya memansuhkan Akta Duti Hiburan 1953 yang disifatkan sudah ketinggalan zaman, dengan menyatakan cukai itu meletakkan beban tambahan kepada keluarga yang mencari aktiviti rekreasi mampu milik.
“Akta Duti Hiburan mengenakan cukai sehingga 25 peratus ke atas setiap tiket taman tema, taman air dan tarikan keluarga. Cukai ini tidak dibayar oleh pengendali, sebaliknya ditanggung oleh rakyat.
“Dalam tempoh yang mencabar ini, adalah tidak wajar untuk mengenakan cukai kepada keluarga. Thailand, Singapura dan Hong Kong tidak mengenakan cukai sedemikian. Keluarga Malaysia kini berkunjung ke Hatyai kerana kos di sana lebih berpatutan,” katanya.
Richard berkata kerajaan sepatutnya memperkenalkan insentif cukai kepada pengendali yang menyediakan aktiviti rekreasi untuk keluarga B40 dan M40, memandangkan kemudahan berkenaan menawarkan ruang awam yang penting untuk orang ramai berehat dan mengurangkan tekanan.
MATFA turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tempatan dalam membangunkan kerangka kawal selia yang lebih moden dan mampan bagi industri berkenaan, selain memperkukuh kedudukan Selangor sebagai destinasi rekreasi keluarga dan pelancongan.







