SHAH ALAM, 22 JUN: Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang diperkenalkan bagi mendepani ketidaktentuan ekonomi susulan konflik di Asia Barat membuktikan pentadbiran negeri bertindak secara bertanggungjawab dan peka terhadap keperluan rakyat.
Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Datuk Johan Abdul Aziz berkata pakej bernilai RM355.06 juta yang dilaksanakan menerusi dua fasa itu disifatkan sebagai langkah komprehensif, berstrategi dan berteraskan kebajikan rakyat.
Menurutnya, setiap inisiatif yang diumumkan mempunyai sasaran jelas, penerima manfaat yang dikenal pasti serta tempoh pelaksanaan yang teratur.

"Ini bukan populisme. Ini adalah tadbir urus yang bertanggungjawab. Setiap peruntukan mempunyai penerima yang jelas, sasaran terukur dan penetapan tempoh pelaksanaan.
"Ini sekali gus membuktikan kepimpinan negeri yang peka, berpandukan data sahih serta bertindak pantas dalam menghadapi sebarang konflik yang melanda.
"Semoga pakej ini menjadi pelindung rakyat," katanya ketika membahaskan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Kerajaan Negeri memperuntukkan RM355.06 juta menerusi pakej berkenaan, melibatkan RM145.8 juta bagi Fasa 1 yang merangkumi tujuh inisiatif, manakala Fasa 2 membabitkan RM209.26 juta melalui 15 inisiatif tambahan.
Pakej itu diperkenalkan bagi membantu rakyat, usahawan, petani, nelayan, pencari kerja dan pemain industri menghadapi cabaran peningkatan kos operasi, gangguan rantaian bekalan serta risiko kehilangan pekerjaan susulan ketidaktentuan ekonomi global.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan pakej tersebut dirangka berdasarkan data, maklumat lapangan serta pandangan pakar bagi memastikan setiap langkah yang diambil menepati keperluan semasa rakyat dan ekonomi negeri.










