SHAH ALAM, 16 DIS: Beberapa projek tebatan banjir telah diluluskan bagi mengurangkan risiko bencana setiap kali musim hujan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua.
Wakil rakyatnya Datuk Johan Abdul Aziz berkata projek di bawah Kerajaan Negeri yang telah diluluskan meliibatkan peruntukan RM10 juta bagi kawasan Batu 16 dan RM10 juta bagi Batu 10.
“Selain itu, Kerajaan Persekutuan turut meluluskan peruntukan berjumlah RM512 juta bagi pelaksanaan projek tebatan banjir utama, melibatkan kawasan berisiko termasuk Dusun Tua.
“Projek-projek tebatan banjir ini akan mengurangkan risiko banjir berulang di kawasan terlibat. Ini antara usaha menyeluruh mengatasi isu banjir di Dusun Tua,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak lima pusat pemindahan sementara (PPS) bersedia dibuka di Dusun Tua sebagai langkah awal menghadapi kemungkinan banjir, susulan risiko peningkatan paras air sungai setiap kali hujan.
“Lima PPS itu boleh diaktifkan pada bila-bila masa bagi memastikan keselamatan penduduk sekiranya, memandangkan lokasi tersebut sering terdedah kepada limpahan air.
“Dalam masa sama, kita juga telah menyediakan bekalan makanan dan keperluan asas sebagai persediaan awal bagi membantu penduduk yang terjejas sekiranya banjir berlaku," katanya.
Pada 4 Disember lalu, beberapa kawasan di Dusun Tua dilanda banjir besar apabila paras air meningkat dengan cepat, sekali gus menjejaskan banyak kediaman serta jalan utama keluar masuk di Hulu Langat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.14 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn digerakkan ke lokasi sejauh 20 kilometer.
Seramai 20 mangsa banjir di Kampung Dusun Nanding, Hulu Langat berjaya dikeluarkan anggota bomba selepas air naik sedalam satu kaki dalam kejadian itu.


