JOHOR BAHRU, 21 JUN: Skim Pengembara yang menyediakan perlindungan sosial kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, terutama di Singapura kini berada di peringkat akhir dan akan dibentangkan pada sidang Parlimen yang akan bermula esok.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menyiapkan kertas cadangan berkaitan skim berkenaan dan kini sedang melengkapkan proses mendapatkan kelulusan diperlukan yang dijangka selesai seawal Ogos ini sebelum ia dikuatkuasakan.
“Sidang Parlimen bermula esok, jadi kami akan memulakan proses pembentangan kertas cadangan itu. Kami juga akan mengadakan sesi libat urus dengan Ahli-Ahli Parlimen bagi menerangkan manfaat program ini.
“Selepas kertas cadangan itu mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, skim ini akan dilaksanakan secepat mungkin untuk dimanfaatkan oleh rakyat Johor yang berulang-alik bekerja antara Johor dan Singapura demi perlindungan sosial mereka,” katanya selepas merasmikan Karnival LINDUNG Kerjaya MADANI di Setia Tropika Convention Centre, Setia Tropika di sini hari ini.
Ramanan berkata sebaik sahaja semuanya selesai, pelaksanaan skim itu boleh dimulakan serta-merta kerana PERKESO telah bersedia sepenuhnya.
Beliau berkata skim itu dijangka memberi perlindungan sosial kepada kira-kira 480,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik setiap hari antara Johor dan Singapura.
Menurut Ramanan, Skim Pengembara itu akan dilaksanakan melalui perluasan liputan perlindungan di bawah Akta 789 atau Skim Lindung Kendiri di bawah seliaan PERKESO membolehkan individu yang layak membuat caruman bagi mendapatkan akses kepada lapan jenis faedah yang ditawarkan.
Terdahulu, Karnival LINDUNG Kerjaya MADANI menghimpunkan 20 majikan yang menawarkan lebih 2,000 kekosongan jawatan termasuk pekerjaan berkemahiran tinggi dengan tawaran gaji kompetitif sehingga RM16,000 sebulan.







