KUALA LUMPUR, 21 JUN: Dua individu yang disyaki terbabit dalam kes culik palsu direman selama 14 hari dan akan dibawa ke Sarawak petang ini bagi membantu siasatan lanjut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M Kumar berkata perintah reman terhadap kedua-dua suspek diperoleh hari ini, lapor Berita Harian.
“Mereka akan dibawa ke Sarawak untuk melengkapkan siasatan kes,” katanya.
Sebelum ini, Polis Daerah Padawan menerima laporan daripada seorang wanita berusia 43 tahun yang mendakwa anak perempuannya berusia 20-an diculik individu tidak dikenali yang meminta wang tebusan RM18,000.
Susulan itu, pasukan khas membabitkan JSJ Bukit Aman serta JSJ kontinjen Johor dan Sarawak ditubuhkan untuk menjalankan operasi mengesan mangsa di Johor Bahru, lokasi terakhir wanita berkenaan dikesan.
Hasil risikan, polis berjaya menemui mangsa di sebuah rumah di Taman Perniagaan Setia, Johor Bahru kira-kira jam 3.30 petang semalam.
Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun turut ditahan di lokasi sama dan empat telefon bimbit dirampas bagi membantu siasatan.
Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau, termasuk dua kes berkaitan dadah dan satu kes jenayah.
Bagaimanapun, siasatan awal mendapati dakwaan mangsa kononnya diculik menimbulkan keraguan, menyebabkan wanita terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik untuk mendapatkan wang tebusan.







