Polis tumpas sindiket judi Piala Dunia, pertaruhan cecah RM27 juta sehari

23 Jul 2026, 4:31 AM
Polis tumpas sindiket judi Piala Dunia, pertaruhan cecah RM27 juta sehari
Polis tumpas sindiket judi Piala Dunia, pertaruhan cecah RM27 juta sehari
Polis tumpas sindiket judi Piala Dunia, pertaruhan cecah RM27 juta sehari

SHAH ALAM, 23 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket perjudian dalam talian yang mengendalikan pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2026 dengan nilai pusingan pertaruhan dianggarkan RM27 juta sehari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata serbuan menerusi Op SOGA XI pada 16 Julai lalu melibatkan 19 premis di Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya, operasi itu berjaya menahan 161 individu berusia 19 hingga 62 tahun membabitkan 106 lelaki, 55 wanita termasuk enam warga asing.

"Lima lelaki tempatan yang merupakan pengarah atau pemegang saham syarikat yang mengendalikan sindiket turut ditahan," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata siasatan mendapati sindiket beroperasi menggunakan beberapa syarikat berdaftar serta membangunkan aplikasi perjudian sendiri bagi menawarkan pertaruhan bola sepak dan perjudian dalam talian.

Walaupun aplikasi itu digunakan pelanggan di beberapa negara jiran, semua operasi, kawalan pertaruhan dan pengurusan kredit dikendalikan dari Malaysia.

Polis turut merampas 182 komputer, 137 komputer riba, 152 telefon bimbit, modem, penghala (router), decoder, kad bank dan peralatan lain yang dipercayai digunakan sindiket.

Sebanyak 14 kertas siasatan dibuka, membabitkan lima kes di Kuala Lumpur dan sembilan kes di Selangor.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 120B Kanun Keseksaan.

Mengulas Op SOGA XI, Kumar berkata PDRM melaksanakan 649 serbuan di seluruh negara dari 11 Jun hingga 20 Julai lalu.

Sepanjang tempoh itu, seramai 945 suspek ditahan, wang tunai hampir RM199,000 dirampas dan nilai kredit perjudian dianggarkan RM5 juta.

Beliau berkata PDRM bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut mengenal pasti 637 laman sesawang yang mempromosikan perjudian, dengan sebahagiannya telah disekat manakala selebihnya sedang diambil tindakan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.