Polis tahan ahli Geng TR dikehendaki Interpol dalam Ops Lima

3 Jun 2026, 3:42 PM
Polis tahan ahli Geng TR dikehendaki Interpol dalam Ops Lima

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Polis Diraja Malaysia hari ini menahan seorang lelaki yang dikehendaki kerana terlibat dalam kegiatan jenayah terancang menerusi operasi khas Ops Lima.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata suspek, yang juga ahli kumpulan jenayah terancang Geng TR ditahan dengan kerjasama pihak berkuasa India dan Thailand semasa dalam penerbangan dari Chennai, India menuju Bangkok, Thailand sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

Beliau berkata suspek, 46, ditahan berdasarkan waran tangkap Mahkamah Majistret Kuala Selangor pada 17 April lepas selain mempunyai Notis Merah Polis Antarabangsa (Interpol) yang dikeluarkan pada 7 Mei lepas.

“Geng TR bergerak aktif melakukan kesalahan jenayah kekerasan dan aktiviti dadah di sekitar Selangor sejak 2021.

“Tangkapan dibuat terhadap suspek kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan selama tempoh yang tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Kumar berkata suspek memiliki pelbagai rekod kesalahan serius termasuk kes bunuh, rompakan berkumpulan menggunakan senjata dan mendatangkan kecederaan.

Beliau berkata lelaki itu akan didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok.

Menurut Kumar, PDRM merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Thailand dan India atas sinergi serta kerjasama erat yang diberikan selain menegaskan komitmen berterusan dalam menegakkan undang-undang demi keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.