SHAH ALAM, 21 JUN: Penganjuran Local Business Connect (LBC) Hulu Selangor Siri 2 membuka peluang kepada golongan muda mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, meningkatkan kemahiran serta menambah pendapatan.
Program itu turut mendapat sambutan positif daripada pencari kerja yang melihat inisiatif berkenaan sebagai platform memudahkan mereka meneroka peluang kerjaya kerana menghimpunkan pelbagai syarikat di satu lokasi.
Seorang peserta, Wan Mohamad Aiman Wan Daud, 28, berkata beliau hadir bagi mencari peluang kerjaya yang lebih baik selepas lima tahun bekerja dalam bidang sama.
"Tujuan saya datang ke sini adalah untuk mencari pekerjaan dan meningkatkan pencapaian kerjaya saya.
"Saya mahu meningkatkan gred pekerjaan serta mencari kemahiran baharu untuk masa depan," katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, program seperti itu wajar diperluaskan kerana mampu membantu golongan muda yang masih mencari pekerjaan atau ingin meningkatkan taraf kerjaya mereka.
"Program ini sangat bagus kerana membuka peluang kerjaya baharu kepada anak-anak muda serta mereka yang masih mencari pekerjaan.
"Mana-mana anak muda yang masih berada di tempat yang sama dalam kerjaya mereka boleh datang ke program seperti ini untuk mencari pengalaman dan kemahiran baharu," ujarnya.
Sementara itu, Nur Farisha Norazlan, 26, berkata beliau hadir untuk menghadiri sesi temu duga bersama syarikat automotif Chery yang kini beroperasi di Lembah Beringin.

Katanya, pembukaan peluang pekerjaan baharu di Hulu Selangor memberi manfaat kepada penduduk setempat kerana mereka tidak lagi perlu berhijrah ke kawasan lain untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.
"Chery mempunyai bahagian logistik dan saya mempunyai latar belakang dalam bidang itu. Jadi saya mahu mencuba peluang kerjaya baharu yang ditawarkan.
"Program seperti ini bagus kerana memberi peluang kepada lebih ramai anak muda untuk menghadiri temu duga dan meneroka lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.
Seorang lagi peserta, Kathiravan Uthia Kumar, 27, sanggup menunggang motosikal hampir sejam dari Tanjung Malim ke Serendah bagi menghadiri sesi temu duga bersama syarikat automotif yang mengambil bahagian.

Beliau berkata program seumpama itu memudahkan pencari kerja mendapatkan maklumat berkaitan peluang pekerjaan selain berinteraksi secara terus dengan bakal majikan.
"Program seperti ini memang bagus kerana memudahkan orang ramai mengetahui peluang pekerjaan yang ada.
"Kita boleh terus datang, bertanya dan mendapatkan maklumat daripada syarikat yang menawarkan pekerjaan," katanya.
Program berkenaan merupakan kesinambungan LBC Siri 1 yang diadakan di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 12 Februari lalu.
Siri pertama itu berjaya menarik lebih 290 peserta untuk sesi padanan perniagaan dan kerjaya, dengan 71 pencari kerja dipanggil menghadiri temu duga peringkat kedua manakala 25 peserta berjaya memperoleh pekerjaan pada hari sama.









