Polis buru lelaki ceroboh rumah di Puchong Prima

21 Jun 2026, 5:06 AM
Polis buru lelaki ceroboh rumah di Puchong Prima

SHAH ALAM, 21 JUN: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai menceroboh kawasan belakang sebuah rumah di Taman Puchong Prima, Subang Jaya, selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3 petang semalam, lapor Berita Harian.

Menurutnya, pengadu menerima panggilan daripada adik perempuannya yang melihat seorang lelaki memakai baju putih dan seluar jeans biru muda berada di belakang rumah melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Hasil semakan rakaman CCTV mendapati seorang lelaki tidak dikenali telah menceroboh kawasan belakang rumah pengadu.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati tiada kehilangan atau kerosakan harta benda dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan dan mengenal pasti suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan jenayah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-7862 7222.

Terdahulu, tular rakaman CCTV memaparkan seorang lelaki dipercayai menceroboh kawasan belakang sebuah rumah sebelum beredar dari lokasi, manakala sistem penggera keselamatan kediaman itu turut berbunyi.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.